Sukan SEA 2019: Vietnam Muncul Pemenang Pingat Emas Selepas Ganyang Indonesia

Reputasi Vietnam selaku pasukan terbaik Asia Tenggara ternyata tidak dapat dinafikan lagi setelah pasukan itu memenangi pingat emas acara bola sepak dalam kejohanan Sukan SEA 2019 dengan menundukkan Indonesia 3-0 di Stadium Memorial RIzal, Manila pada Selasa.

Selepas tewas dalam lima perlawanan akhir Sukan SEA pada tahun 1995, 1999, 2003, 2005 dan 2009, Vietnam akhirnya menamatkan pemburuan mereka bagi mendapatkan ibu segala pingat bagi kejohanan dwi tahunan itu.

https://twitter.com/The2019SEAGames/status/1204414361386639360?s=20

Skuad bimbingan Park Hang-seo itu ternyata lebih garang dengan menjaringkan gol pertama menerusi sepakan percuma kapten pasukan, Do Hung Dung yang ditanduk oleh Doan Van Hau bagi meletakkan Vietnam di depan enam minit sebelum tamat babak pertama.

Pada minit ke-59, Nguyen TIen Linh membuat hantaran lintang dari sebelah kanan tetapi hantarannya dan cuba dikeluarkan pemain pertahanan Indonesia, namun lambungan bola itu disambar Hung Dung yang terus merembat dari luar kotak penalti untuk menggandakan kedudukan.

Skuad Naga Emas kemudian menghukum pertahanan Indonesia dengan gol ketiga pada minit ke-73 selepas sepakan percuma Hoang Duc diselamatkan penjaga gol Nadeo Winata, namun tepisan bola itu tepat menemui Van Hau yang menolak masuk ke dalam gol Indonesia sekaligus melengkapkan malam gemilang pasukannya.

Indonesia ternyata menghadapi kesukuran untuk mengatasi Vietnam dalam perlawanan ini di mana mereka turut tewas 2-1 kepada lawan yang sama di peringkat kumpulan.

Ini adalah pingat emas acara bola sepak pertama yang diraih Vietnam dalam kejohanan Sukan SEA. Vietnam Selatan pernah menang acara bola sepak pada Sukan SEAP pada tahun 1959 di Bangkok.

Leave a Reply