Sukan SEA 2019: Vietnam, Indonesia Gah Melangkah Ke Separuh Akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email
nguyen-tien-linh-vietnam-thailand-sukan-sea-2019

Buat kali pertama sejak Sukan SEA dihadkan penyertaan kepada skuad B-23 dan B-22 bermula pada edisi 2001, juara baharu bakal dinobatkan. Sepanjang sembilan edisi sebelum ini, hanya Thailand dan Malaysia telah meraih kejuaraan temasya dwi tahunan ini.

Thailand memenanginya pada edisi 2001, 2005, 2007, 2013, 2015 dan 2017, sementara Malaysia pula memenanginya pada 2009 dan 2011. Semifinalis kali ini, tiada kelibat Malaysia mahupun Thailand.

Thailand sah tersingkir daripada saingan apabila terikat 2-2 dengan Vietnam dalam perlawanan terakhir Kumpulan B, petang semalam. Vietnam berjaya mara ke separuh akhir selaku juara kumpulan.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Binan itu menyaksikan Thailand melakukan kejutan seawal minit ke-5 apabila penjaga gol Vietnam, Nguyen Van Toan membuat kesilapan yang tidak terduga apabila menghadiahkan penyerang, Supachai Jaided gol pertama.

Gol kedua Thailand juga hasil kesilapan Van Toan meninggalkan gawangnya namun gagal untuk menghalang penyerang muda, Suphanat Mueanta daripada meledak gol kedua di minit ke-10.

Mungkin pengendali Naga Emas, Park Hang-seo sedikit kesal kerana mengenepikan penjaga gol utama, Bui Tien Dung yang gagal beraksi baik dengan memberi satu gol kepada Indonesia.

Begitupun, tandukkan Nguyen Tien Linh lima minit kemudian kembali memberikan mereka nyawa sebelum menjaringkan gol penyamaan menerusi sepakan penalti pada minit ke-72.

Dua gol Osvaldo Haay, Saddil Ramdani dan Bagas Adi Nugroho membantu Indonesia membenam Laos 4-0 dalam satu lagi aksi yang berlangsung di Grandstand Imus, petang semalam.

Saddil Ramdani terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-4, sebelum Osvaldo Haay meledak gol di minit ke-47. Indonesia menambah gol pada minit ke-73 menerusi penalti oleh Bagas Adi Nugroho diikuti jaringan kedua Osvaldo Haay di masa kecederaan.

Garuda Muda mengulangi pencapaian edisi 2017 apabila layak ke separuh akhir selepas Thailand gagal menewaskan Vietnam, hasil empat kemenangan dan satu kekalahan – iaitu kepada Vietnam.

Indonesia mempamerkan aksi memukau dalam saingan Sukan SEA kali ini apabila meledak 17 gol, menyamai rekod jaringan Vietnam dengan Osvaldo Haay sedang mendahului carta rekod penjaring terbanyak temasya apabila telah menjaringkan tujuh gol peribadi.

Untuk aksi separuh akhir, Vietnam akan berdepan Kemboja dan Indonesia pula bakal bertemu Myanmar pada 7 Disember ini.

Kredit Featured Image: Theo VOV

PERCUMA: Bandage Mudah Lekat.

Hak Cipta © Semuanya BOLA Sdn. Bhd. 1179367-U