Kekalahan 1-3 di tangan Kemboja menyaksikan skuad bawah 22 (B-22) tahun negara terpaksa meninggalkan Manila dengan penuh kekecewaan selepas tersingkir daripada persaingan ke separuh akhir Sukan SEA 2019.
Keputusan itu juga menguburkan terus impian anak buah Datuk Ong Kim Swee untuk menebus kehampaan tewas pada perlawanan akhir edisi 2017 di Kuala Lumpur.
Kemboja yang turun dengan misi memburu slot empat pasukan terbaik buat pertama kali, memperagakan corak permainan lebih kemas berbanding pasukan negara.
Meskipun tidak mampu untuk menghadirkan jaringan, Kemboja lebih banyak mencipta peluang dengan empat percubaan tepat ke arah pintu gol negara yang dikawal Haziq Nadzli.
Ketika pasukan negara kelihatan bergelut untuk mempamerkan prestasi terbaiknya, Kemboja membuka tirai jaringan pada minit ke-56 menerusi In Sodavid.
Jaringan itu berpunca daripada sepakan sudut dari sebelah kiri pintu gol negara yang gagal ditangkap kemas Hazid dan Sodavid tidak mensia-siakan peluang terhidang untuk menolak masuk bola bagi memisahkan kedua-dua pasukan.
Belum pun skuad negara sempat memperkemaskan aksi, Sieng Chantea melebarkan kedudukan hanya berselang seminit kemudian.
Pemain berusia 16 tahun itu menggelecek Dominic Tan dalam kawasan penalti dan kemudiannya meledakkan rembatan yang gagal dihalang Haziq Nadzli.
Tidak cukup dengan dua jaringan tersebut, Keo Sokpeng menambah duka skuad negara pada minit ke-68 bagi menjadikan kedudukan 3-0.
Jaringan tunggal pada minit ke-88 menerusi Quentin Cheng tidak mampu untuk mengubah nasib skuad negara yang terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Sukan SEA 2019.
Kredit foto: Team Malaysia