Quantcast

BERITA

Sukan SEA 2019: Terima Kasih Aung Kaung Mann, Velizar Popov, Myanmar!

Terima kasih Aung Kaung Mann! Terima kasih Velizar Popov! Mungkin itu ungkapan yang sesuai buat dua individu yang membantu Malaysia untuk masih berpeluang melangkah ke separuh akhir Sukan SEA 2019 yang sedang berlangsung.

Myanmar merekodkan kemenangan 2-1 ke atas Kemboja dalam aksi Kumpulan A, hasil jaringan penyerang gantian, Aung Kaung Mann, dua minit sebelum wisel penamat ditiup selepas hampir sejam kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 1-1.

Kemboja terlebih dahulu mendahului perlawanan hasil jaringan di minit ke-21 oleh Sin Sophanat sebelum disamakan oleh Myanmar menerusi jaringan pemain tengah, Lwin Moe Aung, enam minit kemudian. Myanmar terus memburu gol hingga ke hujung aksi.

Tindakan pengendali Myanmar, Velizar Popov membuat tiga pertukaran dengan memasukkan Aung Kaung Mann, Thurein Soe dan Win Naing Tun bagi mendapatkan jaringan kemenangan akhirnya membuahkan hasil. Myanmar menjadi pasukan pertama yang mengesahkan slot ke separuh akhir – tanpa kekalahan.

Velizar Popov sememangnya tidak asing bagi Malaysia apabila pengendali berusia 43 tahun itu pernah membimbing Kelantan selama setengah musim pada 2016 menggantikan K. Devan.

Keputusan tersebut sedikit sebanyak telah membantu skuad negara untuk kembali menarik nafas lega apabila ketika ini Malaysia terikat empat mata bersama Kemboja dan Filipina.

Selain itu, kejayaan meledak empat gol juga membantu Malaysia mendekatkan jurang perbezaan gol bersama Kemboja.

Kelebihan masih milik Kemboja dengan lebih satu perbezaan gol berbanding Malaysia dan pertembungan kedua-dua pasukan ini pada 4 Disember pastinya hangat dengan pemburuan satu lagi tiket. Filipina pula mengintai untuk ‘membelasah’ Timor Leste.

Selepas tiga perlawanan, belum nampak kekuatan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee dengan majoriti pemain dilihat gagal untuk berada di tahap prestasi sebenar ditambah dengan krisis motivasi.

Ini sedikit sebanyak memberikan kelebihan buat Kemboja untuk bersaing bersama tuan rumah Sukan SEA, Filipina untuk satu lagi slot ke separuh akhir. Adakah Malaysia mampu menukar rentak permainan ketika melayan Kemboja pada Khamis ini?

Menurut Ong Kim Swee yang ditemui media sejurus perlawanan menentang Timor Leste, Harimau Muda akan cuba turun dengan pendekatan dan gaya permainan lain untuk mengatasi Kemboja.

Dalam perlawanan menentang Timor Leste yang menyaksikan Malaysia menang 4-0 malam tadi, dua pemain yang jarang mendapat tempat menampilkan prestasi positif iaitu Faisal Halim dan R. Kogileswaran, yang wajar dipertimbangkan Ong Kim Swee.

Kredit Featured Image: MFF