Sukan SEA 2019: Saya Gagal Sebagai Kapten, Tetapi Mereka Akan Kembali Bangkit

Adam Nor Azlin Haziq Nadzli Sukan SEA 2019 Malaysia Filipina

Kapten skuad Sukan SEA 2019, Adam Nor Azlin kecewa dengan kegagalan pasukan untuk melepasi peringkat kumpulan dalam saingan pada edisi kali ini. Malaysia menamatkan saingan di kedudukan ke-4 dengan hanya empat mata berjaya diraih.

Ini adalah kali kedua skuad negara gagal melepasi peringkat kumpulan sejak 2009, dengan pada 2015 ketika di Singapura, Malaysia menamatkan saingan di kedudukan ketiga kumpulan dengan sembilan mata, di belakang Vietnam dan Thailand.

Namun, menurutnya, pemain-pemain muda yang masih boleh beraksi pada saingan edisi selepas ini perlu mengambil iktibar kepada kempen terburuk skuad negara sepanjang era Datuk Ong Kim Swee membawa skuad Harimau Muda sejak edisi 2011.

“Ini sangat-sangat mengecewakan. Kita telah gagal dan saya gagal sebagai ketua pasukan,” memetik kenyataannya di portal The Star.

“Tetapi, ini bukanlah untuk selamanya. Kita tidak boleh terbawa-bawa [dengan kegagalan]. Kita perlu membuat kerja rumah dan bersedia dengan lebih baik dalam kejohanan selepas ini,” ujarnya.

Malaysia tewas dalam dua perlawanan iaitu kepada Filipina (0-1) dan Kemboja (1-3) serta meraih satu kemenangan ke atas Timor Leste (4-0) dan satu keputusan seri menentang Myanmar (1-1).

Menurut Adam Nor Azlin, tidak sepatutnya nota kegagalan kali ini diletakkan di bahu pengendali semata-mata, pemain-pemain juga wajar mengambil tanggungjawab bersama-sama.

“Kami profesional dan kami selalunya diajar untuk kembali bangkit selepas kegagalan. Ketika ini, banyak kerja yang perlu dibuat.

“Sesetengah pendapat mengatakan yang kita memerlukan pemain seperti Safawi [Rasid] tetapi sepatutnya kita tidak boleh hanya bergantung kepada seseorang pemain sahaja.

“Apabila terpilih untuk mewakili skuad kebangsaan, semua pemain harus mengambil tanggungjawab bersama. Bukan seorang, dua pemain sahaja. Kegagalan ini akan memberikan kekuatan kepada kita di masa akan datang,” jelas pertahanan berusia 23 tahun itu.

Pada edisi 2017, Adam Nor Azlin bersama rakan-rakannya berjaya melangkah ke pentas final sebelum tewas kepada Thailand 0-1 dan melihatkan senarai pemain kali ini, dijangkakan Malaysia mampu melangkah ke final sekali lagi serta mungkin menjuarainya.

Namun, sebaliknya berlaku di Manila. Watak skuad kali ini tidak menonjol seperti di edisi di Kuala Lumpur dengan kegagalan demi kegagalan terus menjunamkan moral dan motivasi pasukan.

“Pemain perlulah mengikut segala arahan jurulatih. Saya yakin pemain-pemain ini akan kembali bangkit,” tambahnya.

Kredit Featured Image: FAM

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN