Pengendali Filipina, Goran Milojevic menjelaskan di sidang media, risiko yang diambilnya apabila menampilkan formasi 3-5-2 telah membantu menewaskan Malaysia dengan keputusan 1-0 dalam aksi Kumpulan A, Sukan SEA 2019, pada malam tadi.
Goran Milojevic menggunakan dua pemain yang berpengaruh untuk menjadi tonggak di benteng iaitu pemain PKNP FC yang juga pemain lebih umur, Amani Aguinaldo dan pemain kelab simpanan AZ Alkmaar di Liga Belanda, Justin Baas untuk bermain bersama seorang pemain dari kelab tempatan, Mar Diano.
Kedua-duanya menampilkan aksi yang kental dalam membatasi serangan Malaysia di zon defending third mereka terutamanya Amani Aguinaldo yang kerap kali berjaya memenangi bola.
Selain itu, komitmen para pemain sepanjang perlawanan dengan mengikuti segala arahan turut membantu The Azkals memenangi perlawanan pertama mereka selepas melalui tiga perlawanan.
“Pemain mengikut arahan yang diberikan dengan baik. Mereka berikan komitmen 100 peratus di atas padang dan terima kasih kepada penyokong yang memberikan sokongan padu kepada pasukan ini,” ujar pengendali kelahiran Serbia itu.
“Kami gembira dengan kemenangan ini,” tambahnya lagi selepas meraih tiga mata pertama seterusnya memperbaiki kedudukan Filipina dan kembali membuka peluang untuk ke separuh akhir.
Berkongsi empat mata dengan Kemboja, Filipina kini berada di kedudukan ketiga bersama Kemboja dengan Myanmar berada di puncak kumpulan dengan tujuh mata. Malaysia yang baru beraksi dua kali pula sekadar di kedudukan ke-4 dengan satu mata.
Menurut Goran Milojevic, menentang Malaysia adalah perlawanan yang sukar kerana mereka wajib memburu tiga mata ditambah dengan tekanan beraksi di hadapan ribuan penyokong sendiri.
“Ini adalah perlawanan yang paling sukar untuk kami kerana kami memerlukan kemenangan bagi menghidupkan peluang ke separuh akhir. Akhirnya, kemenangan memihak kepada kami.
“Selepas mengharungi tiga perlawanan sukar, kami menang berhak menang hari ini. Kami tidak patut seri dengan Kemboja dan tewas kepada Myanmar sebelum ini,” memetik katanya di Berita Harian.
Filipina akan berehat lima hari dan akan turun menentang pasukan di dasar kumpulan, Timor Leste pada 4 Disember depan. Malaysia pula akan mengharungi dua perlawanan iaitu menentang Timor Leste pada 2 Disember dan Kemboja pada 4 Disember depan.
Kredit Featured Image: Sherwin Vardeleon/PHILIPPINE DAILY INQUIRER