Ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) negara, Datuk Ong Kim Swee menegaskan segalanya berjalan dengan lancar dalam usaha menyenaraikan pemain yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Kamal dalam skuad Sukan SEA 2019.
Menurut sumber Sinar Harian, pengendali skuad negara itu mendedahkan bahawa nama Wan Kuzain berada dalam senarai pemain yang akan dipanggil menyertai latihan pusat untuk menghadapi temasya dwitahunan tersebut.
”Seperti yang saya katakan sebelum ini, ia masih dalam proses untuk memastikan semuanya berjalan lancar.”
“Kita tidak mahu ganggu dia buat masa ini dan tunggu sehingga Wan Kuzain selesai beraksi bersama kelabnya di Amerika Syarikat,”
“Namun, kami masih beri ruang kepada Wan Kuzain memandangkan Liga Major League Soccer (MLS) Amerika Syarikat hanya akan berakhir awal November atau lewat Oktober ini.”
”Kita masih berkomunikasi dengan dia dan segalanya positif,” jelas Datuk Ong Kim Swee bercakap kepada Sinar Harian.
Pemain tengah berusia 21 tahun itu sebelum ini menyatakan hasrat untuk menyarung jersi skuad kebangsaan bagi menghadapi saingan Sukan SEA 2019 di Filipina.