Quantcast

KAJIAN & FAKTA

Sukan SEA 2019: Misi Sukar Untuk Kembali Ke Landasan Oleh Skuad Harimau Muda

Para penyokong, pengendali dan pemain pastinya dalam mood kurang baik pada hari ini. Malaysia tewas kepada Filipina dalam aksi Kumpulan A, Sukan SEA 2019 dengan keputusan 1-0 pada malam tadi dan ianya meninggalkan kesan negatif buat semua.

Tiada siapa mahukan kekalahan tetapi adakah kita layak untuk tewas pada malam tadi? Filipina meledak satu gol iaitu menerusi pemain lebih umur yang juga kapten skuad Sukan SEA mereka, Stephan Schrock pada minit ke-74 menerusi sepakan penjuru.

Ia satu gol yang padu menewaskan Haziq Nadzli, yang kesekian kalinya ditewaskan dalam situasi yang sama sepanjang kariernya.

Edisi kelima Ong Kim Swee

Dengan prestasi skuad B-19 dan skuad senior yang memuncak pada ketika ini, secara tiba-tiba keputusan dua perlawanan skuad kendali Datuk Ong Kim Swee ini menyentak segalanya. Diikat oleh Myanmar 1-1 dalam aksi pembukaan, Harimau Muda kemudian tumbang kepada Filipina yang ditewaskan pada aksi kelayakan Kejohanan AFC B-23 pada Mac lalu – Malaysia menang 3-0.

Akhyar Rashid Kelayakan Piala AFC B23 Malaysia Filipina

FOTO: Harian Metro/ Sarien Nafis

Ketika itu, Akhyar Rashid meledak dua gol dan satu lagi gol telah dijaringkan oleh Faisal Halim, menembak Filipina jatuh dalam aksi pembukaan kelayakan Kumpulan J. Barisan pemain yang hampir sama disenaraikan oleh Kim Swee kecuali dua pemain iaitu Shahrul Nizam dan juga Pemain Paling Bernilai ABK 2019, Safawi Rasid.

Filipina pula hadir dengan tambah baik yang cukup mantap dan ditambah pula dengan kehadiran pemain berpengalaman luas, Amani Aguinaldo dan Stephan Schrock daripada skuad senior. Adakah ini kekurangan kepada skuad Sukan SEA kali ini?

Kim Swee sangat berpengalaman dengan rencah Sukan SEA sejak membimbing skuad B-23 bermula pada 2010. Sudah empat kali temasya dwi tahunan ini disertainya dan ini adalah edisi kelima buat dirinya. Adakah tiga siri kegagalan sebelum ini masih belum mampu diubatinya dengan kejuaraan untuk edisi tahun 2019?

Senior yang kurang impak

Amani Aguinaldo dan Stephan Schrock menghadirkan kekuatan tambahan kepada The Azkals. Sebagai pemain senior dengan lebih 30 penampilan antarabangsa, mereka segak membimbing pemain-pemain muda Filipina dengan sangat baik dan menonjol.

Amani Aguinaldo Akhyar Rashid Sukan SEA 2019 Malaysia Filipina

FOTO: FAM

Lihat sahaja ketangkasan Amani Aguinaldo yang beraksi di PKNP FC menangkis segala pergerakan jentera serangan skuad negara bersama-sama pemain berusia 19 tahun daripada Liga Belanda, Justin Baas. Kepimpinannya di benteng sangat mengujakan.

Kepimpinan Stephan Schrock usah dinafikan. Dia berada di mana sahaja di dalam padang bagi membantu skuad muda Filipina untuk memburu kemenangan pertama kerana mereka berpeluang akibat Malaysia gagal secara total untuk memiliki penguasaan bola.

Adakah Irfan Zakaria dan kapten, Adam Nor Azlin gagal memberi impak yang dimahukan oleh Kim Swee? Ya, mereka berdua adalah pemain skuad kebangsaan tetapi bukanlah pemain utama. Mereka di belakang dua bek kental, Aidil Zafuan dan Shahrul Saad. Impak mereka untuk dihormati oleh pemain lain, masih tidak tinggi.

Penulis tidak menyalahkan Kim Swee dalam isu pemilihan pemain kerana sebagai pengendali, jurulatih berusia 48 tahun itu lebih arif siapa yang harus berada dalam senarai 20 pemain. Namun, harus dilihat juga, mengapa sehingga kini, tidak kelihatan tanjak Adam Nor Azlin di benteng Harimau Muda sebagai ketua pasukan.

Adam Nor Azlin Haziq Nadzli Sukan SEA 2019 Malaysia Filipina

FOTO: FAM

Masih berpeluang?

Begitupun, Kim Swee tidak harus berganjak dalam memberi ruang kepada Adam Nor Azlin untuk memimpin skuad muda ini. Mungkin akan tiba masa, pemain yang telah memiliki 15 penampilan skuad kebangsaan ini akan kembali bangkit menyerlahkan auranya.

Ketika ini, paling utama adalah keseluruhan pasukan harus kembali bersatu. Dan para penyokong juga harus menghantar aura positif kepada pasukan yang sedang berjuang di bumi Filipina. Kita masih miliki dua perlawanan di tangan dan peluang itu masih ada.

Hanya satu mata ketika ini dan berada di kedudukan keempat kumpulan dibelakang Myanmar, Kemboja dan Filipina, Malaysia telah menempah laluan berliku, berbaki dua lagi aksi menentang Timor Leste dan kemudian Kemboja pada 4 Disember – kedua-dua perlawanan harus diakhiri dengan kutipan enam mata penuh.

Terlebih dahulu, Malaysia amat memerlukan kemenangan moral ke atas Timor Leste pada 2 Disember ini bagi menghidupkan kembali sisa perjuangan yang ada. Dan dengan cara dan gaya permainan setakat ini, adakah Timor Leste mudah untuk dijinakkan? Bangkit anak muda! Kembalikan taringmu dan tunjukkan belangmu!

Kredit Featured Image: FAM