Kebiasaannya penyerang berbakat besar, Luqman Hakim Shamsudin akan bersama rakan sebaya di padang latihan tetapi kali ini persekitaran yang sedikit berbeza dihadapinya menjelang Sukan SEA 2019.
Hal ini kerana pemain berusia 17 tahun itu dikelilingi pemain-pemain yang lebih senior dan keadaan tersebut membuatkannya sedikit bergelut untuk menyesuaikan diri.
Permasalahan tersebut diakui sendiri oleh Luqman Hakim tetapi dalam masa yang sama anak kelahiran Kota Bharu itu optimis mampu mengatasinya.
“Apabila datang, saya sedikit bergelut. Mungkin lama-kelamaan saya dapat sesuaikan diri dan tahu tentang satu sama lain.”
”Ia membolehkan saya meraih pengalaman daripada pemain senior. Ia sukar tetapi akan dicapai,” ujar Luqman yang melaungkan keyakinan tersebut.
Dalam perkembangan yang sama, Luqman turut menjelaskan bahawa corak permainan yang cuba ditampilkan Datuk Ong Kim Swee tidak banyak perbezaan dengan apa diterapkan oleh pengendali skuad B-18 negara, Brad Maloney.
”Corak permainan sama sahaja. Kami perlu faham antara satu sama lain.”
Luqman bersama-sama dua rakan sepasukan dari Akademi Mokhtar Dahari (AMD) B-17 iaitu Harith Haiqal Adam Afkar dan Muhamad Umar Hakeem Suhar Rezwan tersenarai dalam 32 pemain yang diumumkan Datuk Ong Kim Swee.
Daripada 32 pemain tersebut, hanya 20 orang terpilih untuk menggalas cabaran negara bagi menebus kehampaan meraih pingat perak pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.