Enam pemain Singapura telah didapati bersalah melanggar ‘arahan berkurung’ yang telah ditetapkan kepada semua atlet Singapura apabila menyertai kejohanan pelbagai acara sukan seperti Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan juga Sukan Olimpik.
Tanpa menamakan keenam-enam pemain, pihak Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) telah mengeluarkan kenyataan mengenai kesalahan yang dilakukan skuad bola sepak Singapura.
“Enam pemain bola sepak Singapura melanggar arahan berkurung ketika di Sukan SEA dan melanggar kod etika pasukan,” memetik kenyataan SNOC yang diterbitkan oleh Channel News Asia.
“Mereka telah diberikan amaran tegas secara lisan dan akan menghadapi pendengaran kes tatatertib itu apabila kembali ke Singapura selepas Sukan SEA,” tambah kenyataan itu lagi.
Menurut sumber yang telah diperolehi oleh CNA, pemain-pemain tersebut didapati melakukan kesalahan tersebut selepas kekalahan 0-3 Singapura kepada Thailand pada 1 Disember yang lalu.
Dan hasil siasatan dalaman yang telah dijalankan oleh pegawai Persatuan Bolasepak Singapura (FAS), pemain-pemain itu didapati telah pulang lewat ke hotel penginapan mereka di Manila.
Singapura menamatkan saingan di Sukan SEA 2019 dengan tiga kekalahan, satu keputusan seri dan satu kemenangan. Mereka hanya berhasil meledak tujuh gol, itupun dalam perlawanan terakhir kumpulan, menang 7-0 ke atas Brunei, selepas gagal menghasilkan jaringan dalam empat perlawanan awal.
Kemenangan itu gagal mengubati aksi buruk mereka dalam edisi kali ini ditambah pula dengan kes pelanggaran kod etika ini.
Untuk rekod, ini bukanlah kali pertama skuad bola sepak Singapura didapati melanggar kod etika pasukan kerana pada 2010, lima pemain skuad senior Singapura telah didapati bersalah tidur lewat ketika kejohanan Piala AFF Suzuki di Hanoi dan didenda $500.
Mereka telah ditangkap bermain kad di bilik penginapan pada jam 1 pagi selepas kemenangan 2-1 ke atas Myanmar. Dua hari kemudian, Singapura tewas kepada Vietnam dan tersingkir.
Selain bola sepak, perenang Singapura juga pernah diberikan surat amaran keras apabila didapati meninggalkan perkampungan sukan tanpa kebenaran pada Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan.
Yang terlibat dalam kesalahan tersebut ketika itu adalah pemenang pingat emas acara kuak kupu-kupu di Sukan Olimpik 2016, Joseph Schooling dan dua rakannya iaitu Teo Zhen Ren serta Roanne Ho.
Kredit Featured Image: FAS