Sukan SEA 2019: Kemenangan Moral Buat Harimau Muda, Atasi Timor Leste 4 -0

Hadi Fayyadh Syahmi Safari Malaysia Timor Leste Sukan SEA 2019

Hasil beberapa perbincangan ketua pasukan, Adam Nor Azlin dan rakan sepasukan sebelum sesi latihan kelmarin dilihat kembali menyuntik semangat kepada skuad negara yang akhirnya berjaya mencatatkan kemenangan pertama menewaskan Timor Leste.

Malaysia menang 4-0 ke atas Timor Leste sebentar tadi hasil dua jaringan Hadi Fayyadh, Akhyar Rashid dan juga jaringan sendiri, Filomeno Junior dalam aksi ketiga Kumpulan A, Sukan SEA 2019.

Walaupun hanya menentang pasukan serba kekurangan seperti Timor Leste, tetapi selepas dua persembahan buruk menentang Myanmar dan Filipina, skuad negara bergelut dengan keyakinan dan prestasi sepasukan. Moral pasukan sedikit merundum.

Ia bukanlah satu kemenangan dengan persembahan terbaik tetapi meraih tiga mata pertama dengan kemenangan besar ke atas The Rising Sun itu sedikit sebanyak kembali menaikkan moral pemain.

Malaysia mempamerkan tekanan yang tinggi ke barisan benteng Timor Leste dengan siri asakan menerusi rangkaian serangan baharu Hadi Fayyadh, Luqman Hakim dan Faisal Halim. Pemain yang menerima kritikan hebat, Akhyar Rashid direhatkan.

Timor Leste terlebih dahulu ketinggalan pada minit ke-5 selepas pemain tengah, Filomeno Junior menjaringkan gol sendiri. Ia berpunca daripada cubaannya untuk merampas bola daripada kawalan Syamer Kutty Abba namun, ia melambung tinggi.

Malaysia Timor Leste Sukan SEA 2019
FOTO: FAM

Penjaga gol, Fagio Augusto yang berada sedikit ke hadapan gagal membaca bola tersebut dan melewati jangkauannya, membantu Malaysia untuk mendahului perlawanan. Ini merupakan jaringan sendiri pertama selepas seminggu Sukan SEA berlangsung.

Harimau Muda masih diganggu dengan masalah yang sama, gagal menyudahkan setiap asakan yang diatur ke kubu lawan antaranya seperti asakan di minit ke-25, rembatan lemah Syahmi Safari yang ditepis Fagio Augusto sebelum penyerang, Hadi Fayyadh gagal menyambut hantaran rendah Luqman Hakim di depan gol.

Begitupun, Hadi Fayyadh berhasil meledak gol kedua buat skuad negara apabila pertahanan Timor Leste gagal mengeluarkan hantaran Syahmi Safari di dalam kawasan gol di minit ke-35. Rembatan kaki kanannya itu adalah gol keduanya di Sukan SEA.

Timor Leste segera kembali mengatur asakan dan melepaskan dua percubaan ke gawang Malaysia namun, gagal untuk menewaskan Haziq Nadzli. Rembatan jarak jauh Filomeno Junior ditepis baik penjaga gol, sebelum Frangcyatma Alves membuat rembatan liar.

The Rising Sun menggandakan usaha memburu jaringan dan hadir dengan dua percubaan lagi menerusi Henrique Cruz di minit ke-38 dan tiga minit kemudian menerusi rembatan tersasar Frangcyatma Alves yang sekali lagi langsung tidak dikawal oleh pertahanan.

Seminit sebelum babak pertama berakhir, Hadi Fayyadh meledak gol kedua peribadinya selepas menyudahkan peluang di depan gawang hasil percubaan pertama oleh Faisal Halim yang terkena tiang gol. Tiga gol di babak pertama membantu Ong Kim Swee menarik nafas lega hasil persembahan positif para pemain.

Faisal Halim Malaysia Timor Leste Sukan SEA 2019
FOTO: Team Malaysia

Tempo di awal babak kedua perlawanan dengan Timor Leste masih meneruskan rentak di hujung babak pertama, mengasak ke kubu skuad negara menerusi pemain berbahaya, Frangcyatma Alves yang sekali lagi melepaskan rembatan jauh di minit ke-56 dan pada minit ke-62 menerusi percubaan tersasar Henrique Cruz.

Biarpun Ong Kim Swee memasukkan Akhyar Rashid bermula di babak kedua, skuad negara masih bergelut di jentera serangan. Corak permainan masih tiada perubahan ketara dengan Timor Leste lebih mencipta peluang dan menguasai perlawanan.

Kombinasi antara jentera tengah yang dikemudi oleh Danial Amier terputus dengan jentera serangan dan Malaysia hanya kembali dengan percubaan tepat ke gawang pada minit ke-74 menerusi rembatan Syahmi Safari yang diselamatkan oleh Fagio Augusto.

Kemasukkan pemain tengah, Danial Haqim dan R. Kogileswaran adalah pilihan terakhir Ong Kim Swee untuk menyuntik sesuatu yang segar untuk menghidupkan jentera serangan skuad negara.

Dan hasilnya di minit ke-81, R. Kogileswaran berjaya melepaskan hantaran cantik kepada Akhyar Rashid di sayap kiri dan menerusi rembatan kaki kirinya, pemain sayap menyerang itu telah berjaya menewaskan Fagio Augusto buat kali keempat pada malam ini.

Kemenangan ini membolehkan Malaysia mengumpul empat mata daripada satu kemenangan dan satu keputusan seri ketika bertemu Myanmar serta satu kekalahan kepada tuan rumah, Filipina.

Kredit Featured Image: Team Malaysia

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN