Vietnam akan turun berdepan Thailand tanpa bintang sensasi yang juga ketua pasukan, Nguyen Quang Hai yang telah dilaporkan mengalami kecederaan ketika aksi menentang Singapura.
Kedua-dua pasukan akan bertembung dalam perlawanan terakhir Kumpulan B, Sukan SEA 2019, dengan perebutan tiket ke separuh akhir menjadi taruhan. Indonesia dijangka mudah untuk melepasi peringkat kumpulan apabila akan menentang Laos, petang ini.
Berusia 22 tahun, Quang Hai sudah membuat 24 penampilan bersama skuad kebangsaan sejak 2017 dan pernah membantu skuad B-23 muncul naib juara Kejohanan AFC B-23 pada 2018.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Bolasepak Vietnam (VFF), Quang Hai terpaksa direhatkan kali ini dan pasukan sedang memastikannya untuk kembali cergas dengan segera.
“Hasil pemeriksaan telah mendapati kecederaan Quang Hai adalah melebihi jangkaan awal staf perubatan. Pemain itu mengalami kecederaan otot di kaki kirinya dan terpaksa direhatkan. Jadi, esok, Quang Hai tidak akan beraksi ketika menentang Thailand.”
VFF percaya yang jadual padat Quang Hai di peringkat domestik dan antarabangsa telah menyumbang kepada kecederaan tersebut. Pengendali, Park Hang-seo juga memahami situasi tersebut apabila dilihat kerap kali menukar barisan pemainnya untuk setiap aksi.
“Staf perubatan sedang sedaya upaya untuk mengembalikan Quang Hai ke tahap terbaik untuk aksi peringkat seterusnya.”
Park Hang-seo pula dipetik berkata yang mereka perlu melupakan segera kemenangan tipis ke atas Singapura dan fokus untuk perlawanan menentang Thailand selepas ini (petang ini).
“Kita perlu bekerja keras sebelum memenangi perlawanan tersebut [Singapura]. Kita tidak gembira dan perlu melupakan kemenangan ini dan bersedia dengan lebih baik untuk berdepan Thailand.
“Ketika rehat babak pertama, saya bercakap kepada pemain untuk bertenang dan jangan tertekan kerana kita bermain dengan baik. Saya memang selalu mahukan kemenangan mudah, tetapi tidak selalu. Perlawanan hari ini sukar,” ujar Park Hang-seo lagi.
Setakat ini, Vietnam masih dengan rekod bersih, menang semua empat perlawanan dengan mengumpul 12 mata, tiga mata di depan Indonesia dan Thailand di kedudukan kedua dan ketiga.
Perlawanan terakhir ini menjanjikan persaingan sengit ketiga-tiga pasukan dengan kelebihan satu tiket adalah kepada Indonesia.
Kredit Featured Image: VFF