Ketua jurulatih skuad bawah 22 tahun (B-22) Indonesia, Indra Sjafri nyata berpuas hati dengan keadaan padang sintetik di Rizal Memorial Stadium, Filipina.
Menurut sumber Bolalob, kem Indonesia yang tiba lebih awal di Filipina pantas menguji serta meninjau keadaan padang tersebut dan nyata reaksi positif diberikan mereka.
”Secara umum, keadaan padang sangat baik. Ia juga kelihatan lebih bagus berbanding di padang C Sendayan dan Kemboja.”
”Kami sememangnya perlu menyesuaikan diri dan Alhamdulillah di latihan pertama ini, cukup memuaskan,” ujar Indra Sjafri.
Dalam perkembangan sama, pemain yang mengisi kuota lebih umur, Evan Dimas melaungkan amaran untuk berjuang berhabis-habisan bagi melakar hasil yang terbaik buat Indonesia.
”Mudah-mudahan kami dapat memberikan kebanggaan buat bangsa Indonesia. Kami akan berjuang untuk hasil yang terbaik,” jelas Evan yang pernah beraksi bersama Selangor.
Cabaran dalam Sukan SEA 2019 bagaimanapun sedikit sukar buat Indonesia selepas skuad Garuda Muda itu diundi bersama-sama Vietnam, Thailand, Singapura, Laos dan Brunei dalam kumpulan B.
Kredit foto: iNews.id