Sukan SEA 2019: Ha Duc Chinh, Osvaldo Haay Miliki Misi Peribadi Di Pentas Final

pemain-timnas-indonesia-di-ajang-sea-games-2019-osvaldo-haay-selebrasi-foto-pssiorg-93-3

Malam ini bukan sahaja perebutan pingat emas antara Vietnam dan Indonesia, malah dua pemain mereka juga bakal berentap untuk dinobatkan selaku penjaring terbanyak pertandingan.

Kedua pemain tersebut adalah Ha Duc Chinh yang bermain untuk Vietnam dan penyerang meningkat naik Indonesia, Osvaldo Haay.

Terikat dengan lapan gol, kedua-duanya pasti bakal memberikan yang lebih untuk negara masing-masing dalam misi memenangi pingat emas dan misi peribadi menjadi penjaring terbanyak.

Dipetik daripada portal Nhan Dan, Ha Duc Chinh yang baru membuat dua penampilan bersama skuad senior Naga Emas berkata fokusnya hanya untuk membantu Vietnam memenangi pingat emas yang belum pernah dimenangi sejak 60 tahun.

“Bagi saya, segalanya kembali kepada permulaan. Aksi final adalah satu perlawanan baru. Kita perlu fokus, masuk ke padang dengan keadaan yang terbaik dan juga memenangi pingat emas.

“Indonesia adalah sebuah pasukan yang kuat. Tetapi jurulatih Park Hang-seo memiliki strategi untuk membendung mereka. Misi kita adalah masuk ke padang, ikut arahan taktikal dan beri tentangan,” jelas penyerang berusia 22 tahun itu mengenai aksi final.

Sementara itu, bagi penyerang kelab Persebaya Surabaya yang juga berusia 22 tahun, Osvaldo Haay, misi menjadi penjaring terbanyak perlu diketepikan terlebih dahulu kerana fokusnya bersama rakan-rakan sepasukan adalah memenangi emas.

Kali terakhir Indonesia memenangi emas di Sukan SEA adalah pada edisi 1991, menewaskan Thailand 4-3 dalam penentuan sepakan penalti dan yang menariknya, ketika dianjurkan oleh Filipina.

“Saya tidak fikir bahawa menjaringkan gol berdepan Vietnam itu penting. Sebaliknya, saya lebih fokus untuk permainan berpasukan. Lebih penting untuk memenangi emas buat Indonesia,” jelasnya.

Ketika ditanya pemain yang berbahaya buat Vietnam, Osvaldo Haay dipetik berkata di portal Bolalob, “Saya tidak fikir kita perlu fokus kepada sesiapa kerana semua pemain setara dan berbahaya.”

Sama ada mereka bakal dinobatkan bersama selaku penjaring terbanyak atau tidak, kedua-duanya telah merekodkan sejarah jaringan terbanyak sejak beberapa edisi Sukan SEA yang lalu dengan lapan gol ketika ini. Edisi sebelum ini, hanya empat gol diperlukan untuk dinobat sebagai penjaring terbanyak.

Vietnam dan Indonesia akan turun berentap pada malam ini dengan Vietnam menjadi pilihan utama selepas merekodkan kemenangan 2-1 ke atas Indonesia di peringkat kumpulan.

Kredit Featured Image: Publiksatu

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN