Quantcast

BERITA

Sukan SEA 2019: Datuk Ong Kim Swee Anggap Kemenangan Tingkatkan Moral Menjelang Aksi Terakhir

Skuad bawah 22 tahun (B-22) akhirnya berjaya mengecapi nikmat kemenangan dalam saingan Sukan SEA 2019 apabila menundukkan Timor-Leste 4-0 pada aksi ketiga Kumpulan A, malam tadi.

Kemenangan penting itu hadir selepas skuad negara sekadar mengumpul satu mata dalam dua perlawanan awal ketika bertemu Myanmar [seri 1-1] dan tumpas 0-1 di tangan tuan rumah, Filipina.

Ketua jurulatih skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee melihat kemenangan di Stadium Memorial Rizal itu merupakan perkembangan yang baik menjelang aksi hidup mati bertemu Kemboja, petang esok.

Menurut sumber Bernama, Kim Swee turut menyedari bahawa Kemboja yang bakal ditentang pada aksi terakhir peringkat kumpulan itu merupakan lawan sukar buat skuad negara.

“Ia kemenangan yang bagus, ia akan meningkatkan keyakinan untuk anak buah saya, kerana kami tahu berhadapan Kemboja bukannya mudah.”

”Mengetahui mereka [Kemboja] masih berpeluang untuk layak jika mengalahkan kami, saya tidak fikir ia akan menjadi mudah, jadi pendekatan kami akan berbeza dalam gaya permainan nanti.”

 Ong Kim Swee

Datuk Ong Kim Swee

”Berhadapan Kemboja, pertamanya kami perlu berfikir untuk menang perlawanan, bukan untuk menjaringkan banyak gol. Kami tidak boleh berfikir untuk menjaringkan gol sebelum menang.”

”Empat gol tadi menunjukkan bagaimana reaksi anak buah saya selepas tewas kepada Filipina, saya rasa mereka mahu membuktikannya,” ujar Kim Swee bercakap dalam sidang media selepas perlawanan.

Dalam pada itu, Datuk Ong Kim Swee turut mengakui terdapat kelemahan dalam skuadnya pada aksi bertemu Timor-Leste malam tadi.

”Apa yang merisaukan saya hari ini [malam tadi] ialah jika kami tewas, tetapi kami beruntung mereka terlepas banyak peluang dan penjaga gol Muhammad Haziq Nadzli bertindak cemerlang.”

”Ya terdapat kelompangan dalam pertahanan, sama anda suka atau tidak, anda perlu membuka permainan dan mengambil risiko jika anda mahu menjaringkan lebih banyak gol.”

Kredit foto: FAM