Thailand masih menaruh harapan untuk meraih slot ke separuh akhir selepas meraih tiga mata ketika membenam Brunei 7-0 dalam aksi kedua mereka di Kumpulan B, Sukan SEA 2019.
Ketika ini, Gajah Perang berada di kedudukan ketiga, tiga mata di belakang Vietnam dan Indonesia yang mendahului carta kumpulan. Dengan Vietnam dan Indonesia akan bertemu sesama sendiri pada malam ini, Thailand mengintai peluang untuk memintas mereka.
Ini kerana, Thailand akan terlebih dahulu turun untuk menentang Singapura pada sebelah petang di Stadium Bolasepak Binan.
Menurut penjaring pertama ketika menentang Brunei yang juga pemain sayap, Sarayut Sompim, padang tiruan bukan lagi masalah besar buat mereka kerana mereka sudah mula menyesuaikan diri.
Dengan pengendali, Akira Nishino tidak memberi pilihan kepada para pemainnya selain menang baki tiga aksi selepas ini, mereka tampak kembali fokus kepada kejohanan dan bersemangat untuk memburu pingat emas keempat berturut-turut buat Thailand.
Akira Nishino sebelum ini telahpun mengkritik penganjur berkaitan kemudahan latihan dan permukaan padang tiruan namun terpaksa menerimanya kerana segalanya adalah hak tuan rumah.
“Permukaan padang memang banyak menganggu kami sebelum ini. Tetapi kini, ia bukan lagi satu masalah,” ujar Sarayut Sompim.
“Begitupun, untuk saya, saya masih perlu menyesuaikan diri dengan permainan pantas dan meningkatkan kesefahaman bersama rakan sepasukan,” ujarnya kepada Bangkok Post.
Menurut pemain berusia 22 tahun itu keputusan memberikan rehat kepada para pemain kelmarin telah banyak membantu mereka untuk kembali segar sebelum turun menentang Singapura.
“Hari ini [kelmarin], jurulatih telah memberikan kami rehat dan berasa kembali segar. Kami telah bermain dua perlawanan dengan rehat satu hari sebelum ini. Para pemain terlalu penat dan cuaca di sini turut memberikan kesan kepada kami,” tambahnya lagi.
“Hanya tinggal tiga perlawanan lagi dan kami akan beri tentangan sengit dalam setiap aksi. Saya juga harap penyokong Thailand akan turun memberi sokongan kepada kami,” tekad Sarayut Sompim.
Thailand berpeluang untuk terlebih dahulu memintas Vietnam dan Indonesia jika menang besar ke atas Singapura sebelum Vietnam dan Indonesia turun bertemu pada sebelah malam di Manila.
Kredit Featured Image: Bangkok Post