Sejak edisi 1992, acara bola sepak di Sukan Olimpik melibatkan skuad B-23. Dan selepas tujuh edisi, adakah Sukan Olimpik 2020 yang dijangka akan dilangsungkan pada tahun 2021 di Tokyo, Jepun, mungkin bakal melibatkan skuad B-24?
Sukan Olimpik 2020 telah ditunda akibat penularan pandemik COVID-19 di seluruh pelusuk dunia dan selepas beberapa kuasa besar dilaporkan mahu menarik diri jika ianya tetap dilangsungkan mengikut jadual asal iaitu pada penghujung Julai.
Untuk acara bola sepak, sudah tentu apabila berlaku perubahan tahun, beberapa pemain yang sepatutnya layak beraksi bakal terlepas peluang untuk beraksi disebabkan melebihi had umur iaitu mesti berumur di bawah 23 tahun.
Pemain-pemain tersebut sudah tentunya telah bersusah payah membantu skuad tersebut layak ke Sukan Olimpik 2020 dan turut bercita-cita mahu bermain dan menyumbang sesuatu buat negara masing-masing di Sukan Olimpik nanti.
Untuk kejohanan kali ini, pemain-pemain yang lahir pada atau selepas 1 Januari 1997 adalah layak untuk disenaraikan, disamping bersama tiga orang pemain lebih umur.
Antara yang telah menyuarakan perkara ini adalah Australia dan juara Kejohanan AFC B-23, Korea Selatan. Korea Selatan sebagai contoh, bergantung sepenuhnya kepada pemain yang lahir pada tahun 1997 ketika meraih tiket ke Sukan Olimpik.
Persatuan Bolasepak Korea Selatan (KFA) memohon agar Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) untuk meningkatkan had kelayakan untuk beraksi.
“Kami ingin memohon agar langkah terbaik dapat dilaksanakan oleh pihak anda [IOC] bagi memastikan pemain-pemain yang telah membantu negara mereka ketika saingan kelayakan tidak akan dipinggirkan,” jelas kenyataan rasmi KFA tersebut.
Kenyataan rasmi KFA tersebut telah disampaikan menerusi sepucuk surat rasmi kepada IOC, Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA) dan juga Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) serta telah disiarkan dan dilaporkan menerusi portal berita Yonhap.
Menurut laporan itu lagi, antara pemain-pemain yang terkesan sekiranya syarat had umur dikekalkan adalah Pemain Paling Bernilai (MVP) Kejohanan AFC B-23 lalu, Won Du-jae selain penjaga gol terbaik kejohanantersebut, Song Bum-keun.
Bagi Australia pula, Ketua Eksekutif, Konfederasi Bolasepak Australia (FFA), James Johnson mahu FIFA dan AFC untuk mempertimbangkan perubahan agar Sukan Olimpik 2020 akan membabitkan skuad B-24 tahun – bukan skuad B-23.
“Ia bagi memastikan pemain yang membantu negara mereka dalam perlawanan kelayakan pada tahun ini yang kemungkinan tidak dapat beraksi pada kejohanan tahun depan kerana faktor umur,” ujar James Johnson menerusi The Indian Express,
“Perubahan ini memberi mereka berpeluang untuk memenuhi impian mewakili negara dan menjadi Olimpian,” memetik kenyataannya yang turut memaklumkan Australia mungkin ‘kehilangan’ khidmat enam pemain jika tiada perubahan dilakukan.
KREDIT FEATURED IMAGE: FIFA