Skuad B-23 tahun negara mencipta kejutan terbesar dalam saingan Sukan Asia 2018 apabila berjaya menundukkan juara bertahan Korea Selatan 2-1 di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung sebentar tadi.
Separuh masa pertama
Anak buah Datuk Ong Kim Swee mengejutkan Korea Selatan seawal minit ke-5 menerusi jaringan pemain sandaran utama di bahagian serangan, Muhammad Safawi Rasid.
Bola yang ditangkap penjaga gol, Song Bumkeun terlepas dari dakapan ketika beliau mendarat dan Safawi menggunakan peluang tersebut bagi membuka tirai jaringan.
Tersentak dengan jaringan awal tersebut, Korea Selatan memperkemaskan aksi dengan mengawal hampir keseluruhan aksi di babak pertama.
Bagaimanapun usaha untuk menyamakan kedudukan menemui jalan buntu selepas serangan yang dilancarkan kurang mengancam kubu skuad negara.
Hanya percubaan yang dilakukan Hwang Hee Chan sedikit menguji kubu skuad negara tetapi Haziq Nadzli lebih tangkas bagi menggagalkan usaha pemain Red Bull Salzburg itu.
Ketika perlawanan babak pertama hampir ditamatkan, Safawi tanpa disangka-sangka meledakkan sepakan ‘outside foot’ dari luar kotak penalti yang sekali lagi membolosi kawalan Song Bumkeun.
Tertekan setelah ketinggalan dengan dua jaringan, skuad bimbingan Kim Hak-Bum menggandakan usaha bagi mencipta jaringan.
Usaha tersebut bagaimanapun digagalkan oleh disiplin tinggi pemain pertahanan skuad negara yang tenang menangkis asakan lawan.
Kemasukan pemain bintang Korea Selatan, Son Heung-Min juga masih belum mampu untuk memberikan sumbangan yang diharapkan.
Usaha tanpa henti yang dilakukan Korea akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-88 apabila hantaran lambung cantik dilakukan Kim Moonhwan terus mencari Kim Geonung yang berjaya menewaskan Haziq untuk merapatkan kedudukan.
Son juga hampir menyamakan kedudukan apabila sepakan percuma dihadapan pintu gol sedikit sipi yang jelas menyelamatkan skuad muda negara.
Saat yang ditunggu-tunggu akhirnya menjelma apabila pengadil perlawanan, Mohammed Khled Al Hoish dari Arab Saudi meniup wisel penamat untuk menoktahkan perjuangan skuad negara pada perlawanan malam ini dengan kemenangan bermakna.
Kejayaan ini telah berjaya melayakkan skuad negara ke pusingan 16 terbaik edisi kali ini.
Foto: FAM