Suebsak Phunsueb: Jagoan Servis Kuda Terhebat Thailand

Suebsak Phunsueb

Dalam kalangan peminat sukan sepak takraw, Suebsak Phunsueb adalah satu nama yang tidak perlu lagi untuk diperkenalkan.

Servis kuda yang cukup padu dimiliki oleh Suebsak nyata menjadi antara senjata ampuh buat Thailand dalam menjadi kuasa terbesar sukan tersebut bermula pertengahan tahun 90-an.

Melihatkan kepada kualiti yang ada padanya, tidak keterlaluan jugalah untuk kita melabelkan legenda ‘bola rotan’ yang kini berusia 43 tahun itu adalah pemain sepak takraw terbaik sepanjang zaman.

Kelibat Suebsak dalam satu-satu perlawanan pasti akan mencuri tumpuan para peminat dan juga lawannya sendiri kerana semua sudah mengetahui apa yang mampu dilakukan oleh anak kelahiran daerah Ban Pong, Ratchaburi, Thailand itu.

Bekas pemain yang mempunyai ketinggian 185 cm itu mula berkecimpung dalam sepak takraw pada usia 10 tahun. Jurulatih berpengalaman Thailand, Kamol Tankimhong merupakan individu penting yang bertanggungjawab dalam mencungkil bakat Suebsak.

Tahun 1998 bermula kisah indah

Kisah indah perjalanan Suebsak dalam sukan ini bermula pada 1998 selepas Kamol membariskannya dalam skuad kebangsaan Thailand bagi menghadapi Sukan Asia di Bangkok.

Dari situlah kelibat beliau mula menghadirkan gerun buat lawannya sekaligus menjadi bualan para peminat sepak takraw.

Permulaan yang amat baik di laman sendiri setelah Thailand berjaya memenangi pingat emas buat kali pertama dalam acara regu dan berpasukan selepas dua edisi sebelumnya (1990 & 1994) telah dikuasai oleh Malaysia.

Kredit foto: Dailynews Thailand

Ia juga secara tidak langsung menjadi titik tolak kepada dominasi Thailand sebagai pasukan terhebat sepak takraw dunia sehingga ke hari ini.

Selepas daripada kejayaan di Stadium Tertutup Huamark itu, Suebsak tidak pernah merasai kegagalan dalam kedua-dua acara tersebut sepanjang menyertai temasya Sukan Asia.

Dengan kemampuan yang dikurniakan hasil kerja keras beliau, Suebsak kemudiannya menjadi tunjang kepada kekuatan Thailand memenangi pingat emas di Busan (2002), Doha (2006) dan edisi 2010 di Guangzhou.

Terlalu banyak kejayaan yang telah diraih oleh Suebsak Phunsueb untuk dikongsikan sepanjang kariernya, tetapi dalam pada itu masih terdapat juga mimpi buruk yang dihadapinya. Rasanya peminat sepak takraw Malaysia dapat meneka mimpi apakah yang dimaksudkan.

Sejarah hitam Sukan SEA 2005

Ketika Thailand dilihat tidak berdepan masalah untuk menundukkan Malaysia pada perlawanan akhir, keputusan sebaliknya telah berlaku setelah skuad negara mencipta kejutan pada aksi yang berlangsung di Gimnasium Universiti San Carlos, Cebu City itu.

Skuad negara yang ketika itu diperkuatkan tekong, Mohamad Normanizan Ahmad, Mohd. Futra Abdul Ghani selaku apit kanan dan Mohd. Zulkarnain Arif (apit kiri) mempamerkan corak permainan luar biasa untuk menamatkan kemarau pingat emas Sukan SEA selama 12 tahun.

Wajah-wajah yang mengecewakan Suebsak Phunsueb ketika Sukan SEA 2005 di Manila.
Kredit foto
: infotakraw.com

Suebsak yang masuk sebagai pemain gantian tidak mampu untuk menghalang keghairahan trio negara untuk meleburkan dominasi Thailand dalam temasya dwitahunan itu.

Sehubungan dengan kekalahan 11-21 dan 14-21 itu, Suebsak dikhabarkan tidak dapat menerima kekalahan tersebut.

Apatah lagi beliau terpaksa menelan kepahitan Thailand tumpas di tangan musuh tradisi mereka dengan ‘straight set’. Sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam kariernya sebelum ini.

Pandangan Azlan Mubin terhadap Suebsak Phunsueb

Semuanya BOLA turut berkesempatan menghubungi bekas pemain sepak takraw negara, Azlan Mubin bagi berkongsikan pengalaman beliau pernah menjadi ‘musuh’ kepada Suebsak.

”Kalau lawan dengan Thailand, memang Suebsak akan menjadi tumpuan dan ancaman yang kami risaukan walaupun mereka ada ramai lagi tekong yang baik juga.”

”Dia ada satu karakter sebagai penggerun. Mungkin di Thailand, mereka akan dilatih supaya mempunyai karakter. Apabila dia turun ke gelanggang dia akan bawa karakter seorang yang garang. Ketika beraksi pun dia membawa karakter tersebut.”

”Ketika zaman kegemilangannya, sebagai contoh sekiranya dia ingin mencari sasaran A, bola servisnya akan tepat ke sasaran tersebut. Dia boleh susun servis dia dekat mana-mana sasaran.”

”Kehebatan Suebsak ini adalah kerana dia tinggi, servis dia laju. Dia juga boleh servis ‘drop’ dan macam-macam. Jadi, dia banyak pilihan untuk buat servis. Tiada tekong lain yang dapat lawan dia dekat Thailand,” ujar Azlan yang kini merupakan selebriti Astro Arena.

Embed from Getty Images

”Yang susahnya nak hadap servis Suebsak ini adalah kerana kelajuan servis itu, dia boleh ikut banyak sasaran. Jadi ia sangat mencabar buat para pemain untuk menghadapi servis darinya. Mereka perlu berfikir dan fokus terhadap kelajuan serta baca arah servis tersebut.”

”Dia juga begitu konsisten. Konsisten membawa maksud dia susah untuk buat silap. Itulah kelebihan dia. Jarang dia buat silap dan (tidak) tersangkut di jaring.”

Azlan turut mengakui beliau memerlukan masa untuk menghilangkan rasa gementarnya untuk berhadapan dengan Suebsak.

”Saya mula menyertai skuad senior pada 2003, saya mengambil masa kira-kira tiga-empat tahun juga untuk menghilangkan rasa gementar apabila berdepan dengan Suebsak. Pada ketika itu walaupun kalah tetapi kami mampu bersaing hebat terutamanya ketika Sukan Asia 2006 di Doha.”

”Secara psikologinya, saya perlu tenang dan bila kita ‘rileks’, kita akan boleh berhadapan dengan Suebsak.”

Pernah membintangi filem ‘Born To Fight’

Suebsak yang mengumumkan persaraannya pada tahun 2011 turut pernah tampil di layar perak selepas beliau membintangi filem Thailand yang berjudul, Born To Fight (Kerd Ma Lui).

Filem yang ditayangkan pada tahun 2004 itu berkisarkan tentang sekumpulan atlet yang turut terdiri daripada pemenang pingat emas Sukan Olimpik bagi acara tinju, Somluck Kamsing, Amornthep Waewsang (Gimnastik) dan bekas pemain import Pahang, Piyapong Pue-On yang membantu pihak Polis dengan menggunakan kemahiran sukan dimiliki mereka.

Selain itu, Suebsak Phunsueb yang juga merupakan seorang anggota Polis pernah menjadi duta kepada jenama popular Thailand, FBT dan turut menguasahan perniagaan Spa.

Kredit foto: Moonseok Ko

Leave a Reply