“Sudah-Sudahlah LTK” – Ini Skuad Brad Maloney!

Sudah-sudahlah mengenang bekas pengendali pasukan bawah umur negara, Lim Teong Kim dengan skuad bawah umur negara. Skuad Bawah-23 negara pada hari ini sebenarnya milik Brad Maloney.

Acap kali skuad bawah umur negara diketuai pemain keluaran Akademi Mokhtar Dahari (AMD) seperti Luqman Hakim Shamsuddin, Harith Haiqal, Azrin Afiq, atau Umar Hakeem, dipanggil memperkuatkan pasukan, nama bekas Pengarah NFDP itu akan menjadi sebutan.

Tindakan sedemikian rupa juga seperti ‘discredit’ usaha yang dilakukan oleh Brad Maloney sejak beberapa tahun yang lalu.

Hasil tangan Brad Maloney

Untuk rekod, Brad Maloney mulai diberikan tanggungjawab mengendalikan pasukan ini pada Jun 2019, mengambil alih tugasan tersebut daripada Bojan Hodak. Tugasan pertamanya bersama pasukan ini pula ialah di Kejuaraan B-18 AFF 2019 di Vietnam pada 5 hingga 18 Ogos 2019.

Skuad kendalian Maloney pada ketika itu muncul naib juara selepas tewas kepada Australia di perlawanan akhir. Namun anda pasti masih ingat bagaimana skuad muda negara menewaskan lawan yang sama dengan jaringan 3-0 di saingan peringkat kumpulan.

Daripada senarai pemain skuad Bawah-23 negara, sembilan daripada pemain yang tersenarai adalah daripada skuad 2002 yang dikendalikan oleh Lim Teong Kim terus diberikan kepercayaan memperkuatkan pasukan membawa cabaran ke Mongolia.

Lima daripada mereka menjadi pilihan di dalam kesebelasan utama Brad Maloney dalam perlawanan pertama menentang Laos adalah Zikri Khalili, Harith Haiqal, Azrin Afiq, Umar Hakeem dan Luqman.

Malaysia Mongolia 2

 

Selebihnya pemain-pemain ini dipanggil dari kelab-kelab yang bertanding di Liga Malaysia dan luar negara yang harus terlebih dahulu dinilai oleh Brad Maloney dan pasukan kejurulatihan sedia ada.

Antara yang menarik perhatian di dalam skuad Bawah-23 negara hasil tangan Brad Maloney adalah gandingan di jentera tengah di antara Nik Akif dan kapten pasukan, Mukhairi Ajmal yang begitu dominan sepanjang pusingan kelayakan.

Begitu juga dengan beberapa posisi lain. Bek sayap Penang FC, Quentin Cheng antara pemain yang menyerlah di pusingan kelayakan ini selain aksi tangkas Muhammad Azri bin Ab Ghani di hadapan gawang gol.

Harus diingat juga skuad kendalian Lim Teong Kim di kejohanan AFC B-16 pada 2018 menggunakan sistem 4-4-2 (Diamond). Brad Maloney pula menggunakan sistem bek bertiga yang dilihat lebih efektif sehingga pasukan negara tidak dibocori sepanjang tiga perlawanan pusingan kelayakan di Ulaanbatar, Mongolia.

Pemain hargai Maloney

Hasil tangan Brad Maloney bukan sahaja dapat dilihat di atas padang. Bedasarkan suasana di dalam pasukan dan bilik persalinan, pemain-pemain pada hari ini juga jelas menghargai sumbangan jurulatih dari Australia itu.

Sejurus selepas berjaya mengikat Thailand semalam, kita dapat lihat bagaimana pemain-pemain ini menyerbu ke arah jurulatih mereka.

Sumber: FAM

Foto yang dirakamkan FAM ini membawa seribu pengertian tersendiri mengenai hubungan pemain dan jurulatih dari Australia itu.

Lihat juga perkongsian dari saluran You Tube Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di mana-mana pemain-pemain negara menjulang Brad Maloney sebagai penghargaan mereka terhadap beliau.

Di dalam bola sepak, selain daripada ilmu dan kebolehan di atas padang, aspek kepercayaan terhadap jurulatih adalah satu lagi aspek penting yang akan menentukan kejayaan.

Itu yang berjaya dipupuk oleh Brad Maloney dan pasukan kejurulatihan sedia ada. Mereka berjaya mendapat keyakinan pemain, mereka juga yang mencongak strategi dan taktikal di atas padang sehingga berjaya membuahkan hasil seperti pada hari ini.

 

Rumusan

Perjalanan masih lagi jauh. Belum ada hasil mutlak yang boleh kita raikan.

Tidak dinafikan skuad Bawah-23 negara masih perlu bekerja keras untuk memperbaiki beberapa aspek sebelum benar-benar bersedia untuk berhadapan cabaran yang lebih berat di Uzbekistan pada Jun tahun hadapan.

Bukan mahu menafikan sumbangan sesiapa. Tetapi sudah-sudahlah mengaitkan pasukan ini dengan Lim Teong Kim. Ini pasukan Brad Maloney. Kredit sewajarnya harus diberikan kepada beliau dan pasukan kejurulatihan sedia ada.

Perkara lama usah dikenang, tiba masanya semua pihak berjalan bersama ke hadapan.

Leave a Reply