Hanya selang dua hari selepas diumumkan secara rasmi sebagai ketua jurlatih skuad kebangsaan yang bahau, Kim Pan-gon tidak membuang masa apabila beliau dan barisan kejurulatihan yang telah diumumkan sebelum ini terus berkunjung ke Johor untuk lawatan kerja.
JDT menjadi kelab pertama dilawat oleh jurulatih dari Korea Selatan itu. Dalam lawatan tersebut, Kim Pan Gon dan barisan kejurulatihannya telah melawat Pusat Latihan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) di Padang Seri Gelam, Johor Bahru dan Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, hari ini.
Turut bersama mereka adalah Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Scott O’Donell dan Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar.
Menurut kenyataan rasmi daripada laman Facebook FAM, kunjungan tersebut adalah bagi melihat sendiri fasiliti dan kemudahan latihan dimiliki juara Liga Super Malaysia (MSL) lapan kali berturut-turut itu.
Selepas lawatan tersebut, delegasi daripada FAM itu kemudiannya berkesempatan untuk bertemu DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) di Ibu Pejabat JDT. Turut menyertai pertemuan tersebut adalah Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin.
Ia bukan menghairankan mengapa JDT menjadi kelab pertama dan tumpuan Kim Pan-gon seraya diumumkan sebagai ketua jurulatih baharu pasukan negara.
Selama ini JDT sememangnya terkenal sebagai sebuah kelab bola sepak yang diurus secara profesional di Malaysia, dan secara konsisten menjadi wakil tunggal negara bertanding di AFC Champions League (ACL) sejak beberapa musim yang lalu.
Selain itu JDT juga memiliki ‘pool’ pemain yang ramai mewakili skuad kebangsaan ketika pasukan negara di bawah kendalian Tan Cheng Hoe.