Subkhiddin Masih EXCO FAM Walaupun Sudah Letak Jawatan

MFL

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam menjelaskan Subkhiddin Mohd Salleh masih lagi Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) dan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) walaupun sudah mengumumkan peletakan jawatan secara mengejut.

Beliau berkata demikian kepada Berita Harian sambil mengesahkan bekas pengadil Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) itu sudah menghantar surat peletakan jawatannya kepada FAM.

Namun begitu, barisan EXCO badan induk bola sepak negara itu masih belum membuat keputusan untuk menerima peletakan jawatan itu.

“Kami sudah terima surat daripada Subkhiddin dan kami sangat kecewa dengan keputusan beliau. Tapi penerimaan surat itu tidak bermakna kami sudah menerima peletakan jawatan itu.

“Perbincangan mendalam akan dilakukan pada mesyuarat EXCO FAM hujung bulan ini. Kami akan bincang sama ada menerima atau tidak peletakan jawatan itu.

“Buat masa ini beliau masih lagi EXCO FAM, kami terima surat (peletakan jawatan) saja, tapi penerimaan daripada EXCO belum diputuskan lagi,” jelasnya.

Berdasarkan kenyataan Stuart itu, FAM tampak berat hati untuk melepaskan Subkhiddin yang jelas memiliki pengetahuan luas dalam aspek pengadilan.

“Benar, ia (keputusan Subkhiddin) mengejutkan. Beliau memiliki latar belakang yang baik dan mempunyai banyak pengalaman di peringkat antarabangsa.

“Berdasarkan perbincangan secara peribadi dengan beliau, saya percaya komen negatif daripada netizen mendorong beliau berbuat demikian (meletakkan jawatan),” katanya.

Subkhiddin ketika mengendalian mesyuarat jawatankuasa Pengadil FAM. FOTO: FAM

Subkhiddin membuat keputusan untuk meletak jawatan selepas dikecam teruk hingga membabitkan ahli keluarganya susulan mutu pengadilan yang diketuai Suresh Jayaraman pada aksi final Piala Malaysia pada 27 Oktober lalu.

Beliau mempunyai satu matlamat ketika memegang jawatan itu iaitu memberi sumbangan yang terbaik kepada bola sepak negara dan sekiranya tidak dihargai lagi maka sudah tibanya masa untuk undurkan diri.

“Saya OK tapi bila balik rumah anak-anak tunjuk komen-komen di Facebook saya rasa tersentuh, terutama yang berkata tentang bapak saya yang telah meninggal, selain maki nama saya. Saya rasa sudah cukup.

“Dulu semasa saya jadi pengadil, saya ada satu kekuatan untuk mencapai kejayaan contohnya pergi ke Piala Dunia dan saya mampu terus berjuang tetapi kini bila anak-anak sudah besar dan bapak sudah tiada, saya rasa sudah tiba masanya memberi tumpuan sepenuhnya kepada keluarga.

“Saya nak sumbangkan segalanya yang terbaik untuk bola sepak negara tetapi bila tidak dihargai sebegini saya minta maaf. Itu prinsip saya,” katanya kepada Utusan Malaysia

Beliau juga kecewa dengan tuduhan netizen yang mendakwa hanya makan gaji buta tanpa melakukan kerja.

“Ada dalam komen netizen kata saya makan gaji buta, saya pun tidak faham…makan gaji buta dekat mana sedangkan exco tidak dapat gaji, kita buat kerja sebagai sumbangan ikhlas,” tegasnya.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN