Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh mahu semua pasukan Liga Malaysia menggunakan saluran yang betul untuk kemukakan bantahan mengenai mutu pengadilan.
Menurut beliau, FAM sedia meneliti sebarang bantahan yang mahu dikemukakan oleh persatuan dan kelab yang bertanding untuk menyelesaikan masalah itu.
“Kita sepanjang masa membuat penilaian semula pada setiap isu.
“Kita mempunyai pasukan penilai pengadil yang sentiasa bertanggungjawab untuk berikan maklumat prestasi pengadilan pada setiap perla wanan. Dan kita mempercayai kepakaran dan integriti yang ada pada mereka.
“Oleh itu, saya tegaskan tanpa bantahan daripada mana-mana pihak pun, kita masih melaksanakan tugas.
“Oleh itu, saya tidak ingin mencampuri bidang dan kuasa yang ada pada mereka yang ingin buat bantahan,” katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini media tempatan melaporkan pengendali UiTM FC, Wan Mustaffa Wan Ismail mahu mengemukakan bantahan terhadap mutu pengadilan pada aksi Liga Perdana menentang JDTII di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG).
Beliau mempertikaikan jaringan daripada penyerang JDT II, Syafiq Ahmad pada minit ke 14 yang didakwa berada dalam kedudukan offside tetapi pengadil perlawanan ketika itu, Muhammad Nasruddin Tamrin membenarkan jaringan itu.
Subkhiddin turut menjelaskan setiap pasukan sepatutnya tidak perlu memperbesarkan setiap bantahan itu di media sebaliknya perlu guna saluran yang sedia ada.
“Cuma tidak perlulah bising dekat media untuk dapatkan kredit, adalah lebih baik berlaku jujur dengan kemukakan setiap bantahan mengikut saluran yang telah tersedia.
“Semua pihak memang inginkan yang terbaik dan kita sedaya upaya menggunakan segala yang ada untuk melakukan yang terbaik.
“Sama seperti pasukan yang lemah dan terbawah dalam liga mereka ingin bermain di peringkat tertinggi, begitu jugalah dengan pengadil yang berusaha lakukan yang terbaik untuk berada dalam Liga Super,” katanya.