Quantcast

BERITA

Subkhiddin Anggap Pengadil Luar Beri Persepsi Kurang Kepada Bola Sepak Tempatan

Keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membawa pengadil dari luar untuk mengadili perlawanan akhir Piala FA pada 27 Julai hadapan terus mendapat pelbagai reaksi daripada penggiat dan juga pemerhati bola sepak tempatan.

Sepertimana yang dilaporkan oleh Berita Harian semalam,  Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Mohd Salleh turut memberikan pandangan beliau yang tidak bersetuju dengan keputusan badan induk bola sepak negara itu membawa masuk pengadil dari Jepun, sekaligus membelakangkan pengadil tempatan sedia ada.

Subkhiddin yang mempunyai pengalaman luas di dalam bidang pengadilan dalam dan luar negara berpendapat FAM sepatutnya tidak mengambil langkah mendapatkan khidmat pengadil dari luar semata-mata untuk memuaskan hati beberapa pihak.

Sebaliknya, beliau merasakan FAM seharusnya terlebih dahulu mengutamakan pengadil tempatan, memandangkan perlawanan akhir Piala FA tidak serupa seperti pertandingan antarabangsa yang melibatkan pasukan dari luar negara.

Ketika mengulas mengenai isu pengadil dari Jepun yang akan mengendalikan perlawanan akhir Piala FA, Subkhiddin berkata:

“Bagi saya ia satu tindakan tidak tepat. Kalau kita nak belajar atau dapatkan pengalaman dan memahami kualiti yang merkeka ada, kita kena bermula dari awal [liga] menerusi program pertukaran, bukannya dengan bawa mereka ke final.

Tiga pengadil dari Jepun, termasuk dua penjaga garisan akan mengadili perlawanan akhir Piala FA Malaysia pada 27 Julai hadapan.

Posted by Semuanya BOLA on Saturday, July 13, 2019

“Memang ada beberapa negara menggunakan pengadil dari luar dan saya tidak mahu sebut nama negara kerana tidak mahu rosakkan imej mereka. Tapi, ini bola sepak kita, cukuplah dengan pengadil kita dan bagi saya, sampai bila-bila pun saya tidak akan bersetuju.

“Jika untuk perlawanan jemputan seperti Pesta Bola Merdeka saya tidak kisah sebab ada pasukan luar. Jadi tiada masalah jika nak ambil pengadil dari luar sekali pun,” katanya kepada wartawan BH Sukan baru-baru ini.

Pada Sabtu lalu Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mengesahkan tiga pengadil – termasuk dua penjaga garisan – sambil dibantu oleh seorang pengadil tempatan akan mengendalikan perlawanan akhir Piala FA membabitkan pasukan Perak dan Kedah di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Langkah tersebut turut mendapat sokongan kedua-dua pasukan yang turut dipalit isu pengadil dalam perlawanan liga pada Fenruari lalu.

Foto: FAM

Pemilihan pengadil dari Jepun itu juga dilihat selaras dengan perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara FAM dan Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) padaApril lalu yang bertujuan mengukuhkan kerjasama antara lain dalam bidang teknikal dan pentadbiran.

Tetapi bagi Subkhiddin langkah itu kurang tepat, tatkala langkah lain untuk mempertingkatkan kualiti pengadil tempatan sepaturnya menjadi agenda utama terlebih dahulu.

“Bayangkan Piala Asia, jika sampai final AFC bawa pengadil dari Russia untuk mengadili perlawanan, jadi apa orang akan pandang terhadap AFC?

“Jadi sebab itu saya kata kita patut utamakan pengadil kita. Kalau mereka tak cukup bagus, tanggungjawab kita untuk tingkatkan kualiti mereka ke arah lebih baik,” katanya lagi.

Foto image: Astro Arena