“Kami akan bermain di Stadium Nasional di Bukit Jalil musim depan kecuali kerajaan negeri menjemput kami untuk bermain di Stadium Shah Alam,” Datuk Seri Subahan Kamal.
Itu perkara yang ditegaskan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Subahan Kamal untuk menjawab kenyataan yang dikeluarkan oleh Exco kerajaan negeri Selangor, Amirudin Shari.
Menurut Amirudin, pasukan Selangor masih berpeluang untuk kembali menggunakan Stadium Shah Alam dan jika FAS berhasrat untuk kembali dan Amirudin terbuka untuk perbincangan bersama.
“Tiada ketetapan lagi mengenai sama ada Selangor boleh menggunakan Stadium Shah Alam kerana perkara itu perlu dibincangkan bersama Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terlebih dulu.
“Jadi, kita akan bincangkan dulu dan lihat apa perkembangannya selepas ini. Kalau diikutkan daripada pandangan saya, masih ada harapan untuk Selangor beraksi di stadium itu,” jelas Amirudin mengenai isu ini.
“Apapun, keputusan buat masa ini tetap sama seperti dinyatakan sebelum ini di mana dasar kerajaan negeri dan prinsip kita adalah memberi kepada pihak yang mudah bekerjasama dengan kita,” tambahnya lagi.
Subahan menjelaskan jika kerajaan negeri benar-benar jujur, mereka sepatutnya menghantar surat jemputan rasmi kepada FAS kerana FAS juga pernah memohon secara rasmi walaupun tiada jawapan balas.
Pasukan Selangor juga telah diarahkan untuk tidak menggunakan padang latihan bersebelahan dengan bangunan pentadbiran di Shah Alam dengan alasan ia akan menjalani kerja-kerja penambahbaikan.
“Adalah sesuatu yang mengecewakan kerana kami sudah menjalani latihan di situ sejak tiga tahun lalu. Kenapa mereka tidak melakukan kerja-kerja penambahbaikan lebih awal?” soal Subahan.
Bermula Selasa depan, pasukan Selangor akan menjalani latihan di padang Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil dan bagi Subahan ia pilihan terbaik.
“Stadium Nasional adalah venue paling terbaik kerana kami yakin perlawanan membabitkan Selangor akan dapat sambutan berbanding sebelum ini,” jelas Subahan lagi.
Kemelut di antara FAS dan kerajaan negeri berhubung penggunaan Stadium Shah Alam bermula sejak dari musim lalu, yang berakhir dengan Selangor terpaksa beraksi di Stadium Selayang.
Subahan sebelum ini memaklumkan kepada Berita Harian bahawa FAS telah menghantar dua permohonan iaitu untuk menggunakan Stadium Shah Alam dan juga Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) telah memberikan persetujuan kepada pasukan Selangor untuk menggunakan SNBJ sebagai gelanggang rasmi Red Giants, musim hadapan.