Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) memberi bayangan kemungkinan Presiden baharu akan dilantik bagi menggantikan Datuk Seri Subahan Kamal apabila Jawatankuasa Eksekutifnya bersidang pada hari khasmi ini.
Menurut laporan daripada Utusan Malaysia, Naib Presiden FAS, Datuk K. Palanisamy menjelaskan persatuan itu sebenarnya masih bermasalah untuk mendapatkan sokongan dari segi kewangan.
“Kami perlukan perubahan kepemimpinan kerana FAS sekarang terus bermasalah dalam mendapatkan sokongan kewangan.
“Selangor juga berada di tempat keempat corot Liga Super sekarang dan masih gagal untuk kembali bermain di gelanggang sendiri, Stadium Shah Alam pada musim ini.
“Saya pernah mendekati Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan saya rasa bagindalah yang paling layak sebagai Presiden baharu FAS,” katanya kepada Utusan Malaysia
Palanisamy turut menyatakan kesediaannya untuk mengemukakan usul membawa Presiden baharu FAS kepada mesyuarat Exco di Yayasan FAS, Kelana Jaya itu kerana mendakwa, turut telah mendapat persetujuan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin hasil satu pertemuan, baru-baru ini.
Malah beliau juga hairan mengapa Datuk Seri Shahril Mokhtar menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai Timbalan Presiden FAS, beberapa minggu lalu.
“Saya fikir peletakan jawatannya juga wajar jadi satu lagi agenda mesyuarat Exco FAS ini. FAS perlu lantik seorang pemangku Timbalan Presiden daripada kalangan empat penyandang Naib Presiden sekarang berdasarkan peruntukan Perlembagaan persatuan,” katanya.