Quantcast

BERITA

Suatu Ketika Bawa Penonton Nikmati Bola Sepak Malaya Berlatarkan 1950-an

A

Filem arahan Prakash Murugiah ini mengisahkan mengenai sekumpulan kanak-kanak kampung dari Sekolah Ujong Pasir menghadapi pelbagai rintangan untuk membentuk sebuah pasukan bola sepak.

Pasukan itu dicipta untuk bersaing dalam kejohanan JG Davidson Cup untuk melawan juara bertahan – Sekolah Inggeris St James yang sangat berprestij dan serba boleh.

Filem yang ditunjangi oleh pelakon terbaik negara seperti Nam Ron dan juga Pekin Ibrahim turut menyelitkan beberapa elemen seperti keyakinan, keberanian yang dapat disaksikan dalam skuad Sekolah Ujong Pasir yang terdiri daripada 12 pelajar sekolah itu.

Elemen terpenting dalam filem ini ialah jati diri. Mereka memberi inspirasi kepada orang-orang di sekitar mereka untuk mempercayai bahawa walaupun biasa, dengan semangat dan jati diri – ia boleh menghasilkan sesuatu yang luar biasa.

Berlatarkan zaman 1950-an ketika Tanah Melayu begitu hampir mendekati kemerdekaan, Suatu Ketika membawa penonton untuk menikmati kehidupan sederhana yang dinikmati oleh rakyat ketika itu.

Dalam filem ini, Nam Ron memegang watak sebagai Pak Saad manakala Pekin sebagai Cikgu Sulaiman yang merupakan salah seorang guru di Sekolah Ujong Pasir.

Filem berdurasi 1 jam 33 minit ini menelan belanja sebanyak RM 3.6 juta secara anggarannya dan penggambaran dilakukan di beberapa lokasi seperti Banting, Serdang, Kuala Kubu Bharu dan juga Kuala Kangsar.

Selain Nam Ron dan Pekin, filem ini turut dibintangi oleh Farah Ahmad (sebagai Latipah), Syafnida Suhaimi (sebagai Cikgu Rokiah), Dintamam (sebagai Selamat) dan ramai lagi.

Suatu Ketika akan ditayangkan di pawagam pada 12 September 2019.