Suatu Ketika: Bila Ola Bola Bertemu Dengan Laskar Pelangi

“Bunga jika nak cantik, ia perlukan baja, air dan cahaya. Semua orang mahu menikmatinya. Tetapi yang menjadikan bunga itu cantik adalah penjaganya.”

Itu adalah jawapan berfalsafah Pak Saad kepada Kudin, seorang kanak-kanak istimewa yang tempang ketika ditanya bilakah dirinya berpeluang untuk bermain bola sepak bersama rakan sepasukannya yang lain.

Babak tersebut menarik perhatian penulis setelah diberi peluang untuk menonton pra-tayangan filem arahan Prakash Murugiah ini di GSC Mid Valley Megamall pada minggu lepas. Di akhir tulisan ini, penulis akan berikan sedikit pencerahan mengenai dialog di atas yang terkandung dalam salah satu babak filem berkenaan.


Suatu Ketika bukanlah sebuah filem yang disandarkan kepada fakta atau kisah benar. Tetapi menurut pengarah filem ini sendiri, ianya diadaptasi dari cerita-cerita orang lama. Latar masa yang dipaparkan adalah suasana di Tanah Melayu pada tahun 1952. Berdasarkan sejarah, ketika itu adalah fasa peralihan di mana negara kita dalam usaha untuk mendapatkan kemerdekaan mutlak daripada pihak British.

Di saat pasukan bola sepak sekolah Inggeris dibarisi murid ‘orang putih’ yang berkelebihan dari segi fizikal dan fasiliti yang serba lengkap, ianya seakan-akan mustahil untuk melihat anak-anak tempatan di sekolah kebangsaan menyaingi kemampuan mereka.

Penjajah fasis British begitu sinonim dengan pegawainya yang bersikap angkuh, kurang ajar dan memandang hina terhadap masyarakat tempatan. Maka sudah tentulah anak-anak mereka di sekolah mewarisi kebiadaban itu dan dibawa sehingga ke atas padang.

Kredit Foto: Kash Production

Atas semangat patriotik dan anti-kolonial yang agak tebal dalam diri masyarakat tempatan, maka lahirlah pasukan bola sepak Sekolah Ujung Pasir diwakili oleh sekumpulan kanak-kanak kampung.

Mereka berani menyahut cabaran untuk bersaing dengan pasukan-pasukan sekolah lain – termasuk juara bertahan Sekolah Inggeris St. James – dalam kejohanan Piala J.G. Davidson yang sangat berprestij di Malaya pada ketika itu.

Nama piala itu dipercayai diambil daripada nama Residen British Pertama di Selangor iaitu James Guthrie Davidson yang turut pernah menjadi Residen British ketiga di negeri Perak.

Pasukan bola sepak Sekolah Ujong Pasir diwakili oleh 12 orang murid berusia 12 tahun. Anak-anak ini ibarat 12 butir permata ini berbeza rupa dan bentuknya, bermakna setiap daripada mereka mempunyai kelebihan dan keistimewaan tersendiri.

Pasukan yang serba kekurangan itu dibimbing oleh dua orang jurulatih ‘tidak bertauliah’ iaitu Pak Saad dan Cikgu Sulaiman.

Kredit Foto: Kash Pictures

Ketua jurulatih, Pak Saad, adalah seorang pembantu di Sekolah Ujong Pasir, dilakonkan oleh Nam Ron. Reputasi pelakon berusia 49 tahun itu selaku pelakon handalan dibuktikan menerusi kualiti lakonannya sebagai pesara tentera yang mempunyai semangat juang  yang tinggi dan begitu memahami perangai angkuh pegawai British di Tanah Melayu.

Penolong jurulatih, Cikgu Sulaiman lakonan Pekin Ibrahim pula merupakan salah seorang guru yang berkhidmat di sekolah berkenaan.

Sebilangan besar pelakon kanak-kanak dalam filem ini berlakon buat kali pertama. Pengarah sendiri mengakui bukan mudah untuk mengawal 12 orang kanak-kanak menjalani penggambaran.

Malah beberapa babak lain melibatkan kanak-kanak dari pasukan sekolah-sekolah lain. Pujian seharusnya diberikan kepada pihak yang bertanggungjawab dalam melatih dan mendidik kanak-kanak ini sehingga dapat menjiwai watak yang dibawa oleh mereka.

Syukri, Usop, Husin, Atan, Panjang, Guna, Suresh, Tuah, Bakri, Dol, Lee Meng dan Kudin adalah watak kanak-kanak yang datang dari latar belakang keluarga yang berbeza. Namun mereka membesar dan menimba ilmu di satu sekolah yang sama. Ianya merupakan satu mesej bahawa sekolah satu aliran telah terbukti dapat menyatukan masyarakat yang berbilang kaum dan agama di negara ini.

Kredit Foto: Kash Pictures

Sekalipun filem ini bergenre sukan atau lebih tepat tentang bola sepak, namun fokus utama bukanlah untuk memaparkan kemahiran individu mahupun corak permainan di atas padang. Tumpuan utama pengarah adalah menyusun jalan cerita yang sarat dengan nilai murni dan kata-kata hikmah.

Antara nilai yang ditampilkan adalah mengenai kesyukuran. Rasa syukur dalam hati manusia akan terbit dengan dua cara. Pertama apabila diri sendiri merasa susah dan kedua selepas melihat kesusahan orang lain. Nama ‘Syukri’ berasal dari perkataan ‘syukur’ atau dalam bahasa Melayu bermaksud ‘terima kasih’.

Penulis tidak pasti sama ada nama watak yang dilakonkan oleh adik Danial Akmal Fariz itu dipilih secara kebetulan atau sebaliknya. Ianya amat bertepatan dengan sikap Syukri yang sentiasa bersyukur sekalipun membesar dalam sebuah keluarga yang serba kekurangan. Kegigihan dan kesungguhannya dalam menuntut ilmu menjadikan beliau anak harapan dalam keluarga.

Seterusnya tentang nilai kekeluargaan.

Watak Pak Selamat yang dijayakan oleh Dintamam menurut penulis sangat berkesan. Berperanan sebagai bapa kepada syukri, sikap tegas, tidak banyak bercakap melainkan bila perlu sahaja, tidak menunjukkan kasih sayang terhadap keluarga secara zahir dan mampu menyampaikan sesuatu hanya melalui riak wajah. Itulah perwatakan seorang bapa pada zaman dahulu.

Kredit Foto: Kash Pictures

Seorang bapa sentiasa bersikap ‘ego’ di hadapan anak-anak dan isteri. Namun hakikatnya, walau sesukar mana sekalipun kehidupan yang ditempuhi, tidak pernah dalam hati mereka luntur rasa kasih dan tanggungjawab terhadap keluarga.

Begitu juga watak Latipah lakonan Farah Ahmad sebagai seorang Ibu yang sentiasa menjadi ‘orang tengah’ dan pelindung kepada anak-anaknya. Hubungan rapat Syukri dan adiknya, Salmah juga berkesan dalam meruntun jiwa penonton.

Selain itu, elemen harmoni lain turut dimasukkan dalam jalan cerita seperti erti sebenar tugas seorang guru, nilai persahabatan, kesederhanaan hidup, semangat berpasukan dan sikap tidak berputus asa.

Malah dorongan ibu bapa terhadap minat anak-anak serta sokongan masyarakat kepada pasukan tempatan turut diadun bagi melengkapkan rencah filem ini.

Menjalani penggambaran di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang dan Kuala Kangsar, filem ini turut diserikan dengan  lagu runut bunyi (OST) bertajuk Ayuhlah ciptaan Michael Veerapan. Lagu yang tersebut ditulis sendiri oleh penyanyinya iaitu Datuk Zainal Abidin. Lagu ini menjadi OST ketiga buat Datuk Zainal Abidin selepas turut menyumbangkan suaranya dalam OST Silat Lagenda (1998) dan Tarzan (1999).

Suatu Ketika adalah citra bangsa Malaysia yang menjanjikan kepuasan dan sesuai ditonton oleh semua lapisan umur. Di saat sentimen perkauman semakin membarah di negara kita, karya ini muncul pada waktu yang tepat untuk menyemarakkan semangat cintakan negara.

Jelas ‘suatu ketika’ dahulu, masyarakat berbilang kaum di Tanah Melayu boleh hidup secara muhibbah dan bersatu padu dalam suasana yang harmoni. Darah dan keturunan kita mungkin berbeza, tetapi kita perlu mencari titik persamaan untuk membina negara yang kita sayangi ini.

Keindahan setiap bait kata-kata yang dilontarkan sewajarnya dinikmati dengan penuh penghayatan. Setiap babak dihiasi dengan mesej serta pengajaran untuk diamati dengan sebaiknya sehingga mampu mengusik emosi para penonton.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan sama ada Sekolah Ujong Pasir mampu mencipta sejarah sekalipun pelbagai dugaan dan cabaran yang melanda mereka.

Berbalik kepada dialog di antara Pak Saad dan Kudin yang dipetik pada awal penulisan ini. Bunga Raya adalah bunga kebangsaan dan ia adalah simbolik kepada negara kita. Ramai orang sukakan kecantikan bunga, tetapi di sebalik itu, apakah faktor yang menjadikan bunga itu tumbuh dengan baik dan segar?

Tidak semua orang berpeluang untuk menyerlah seperti sekuntum bunga. Sebahagian yang lain akan berperanan sebagai penjaga, baja, air, tanah, cahaya dan sebagainya. Setiap daripadanya perlu saling melengkapi antara satu sama lain agar bunga itu berkembang mekar untuk dinikmati dan dikagumi oleh sesiapa sahaja yang melihatnya.

Falsafah yang diselitkan ini bagaikan satu homage kepada filem Laskar Pelangi – sebuah filem Indonesia yang turut sarat dengan falsafah dan sinematografi cemerlang seperti Suatu Ketika. Dengan bola sepak menjadi temanya, menonton Suatu Ketika ibarat menonton Laskar Pelangi yang ‘dikahwinkan’ dengan Ola Bola – satu perbandingan yang cukup tinggi dalam standard perfileman tempatan.

Saksikan Suatu Ketika di semua pawagam Golden Screen Cinemas (GSC) yang telah mula ditayang pada 12 September 2019 sekarang!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN