Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam menegaskan pasukan bola sepak tempatan perlu memanfaatkan peluang Kuala Lumpur sebagai tuan rumah World Football Summit (WFS) Asia 2019.
Sidang kemuncak yang menghimpunkan individu-individu penting dalam industri bola sepak seperti Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bundesliga International, Robert Klein dan Presiden La Liga, Javier Tebas dan ramai lagi bakal berlangsung pada 29 dan 30 April bertempat di Sunway Pyramid Convention Centre.
Stuart ketika ditemui wakil Semuanya BOLA dalam sidang media pra-pelancaran WFS 2019 berpendapat bahawa program yang bakal dilaksanakan pihak penganjur ini dapat memberikan peluang dalam membangunkan pasukan tempatan.
”Pasukan bolasepak tempatan perlu mengambil peluang yang ada menerusi program yang dilaksanakan penganjur persidangan terbabit untuk mempertingkatkan pembangunanan bolasepak masing-masing.”
Stuart Ramalingam juga ingin melihat pengurusan bola sepak tempatan untuk mengubah lanskap pemikiran dalam menguruskan pasukan serta menggunakan jaringan perniagaan sebagai landasan mencari dana pasukan.
“Sudah tiba masanya pengurusan bolasepak tempatan berubah pemikiran ke arah perniagaan bagi memacu kewangan kelab masing-masing dan persidangan ini adalah peluang untuk mereka mencari alternatif berkenaan.”
“Kewangan yang mantap bakal mengubah pasukan bolasepak tempatan ke arah lebih baik malah menyelesaikan masalah berbangkit terutama membabitkan kekurangan dana,” jelas Stuart lagi.
Selain daripada pengunjung dapat mendengar ceramah berkualiti daripada panel yang terlibat, WFS 2019 turut menjadi medium terbaik dalam menjalinkan jaringan perniagaan seperti yang dijelaskan dalam artikel sebelum ini.
Orang Datang Ke World Football Summit (WFS) Asia 2019 Kerana 5 Sebab Ini
Kredit foto: WFS