Perkembangan terkini Chelsea dalam beberapa musim kebelakangan ini menyaksikan bakat-bakat Bundesliga mula diburu untuk memperkuatkan skuad mereka.
Jika perpindahan Kai Havertz dimuktamadkan, The Blues akan memiliki rangkaian pemain yang memiliki pengalaman di Jerman selepas mereka sah menandatangani Timo Werner yang bakal menyertai mereka pada jendela perpindahan depan.
Gandingan Bundesliga
Pengurus yang dilantik sebelum ini dilihat cenderung untuk membawa bekas pemain dari liga atau kelab lama mereka sebagaimana yang dilakukan Jose Mourinho, yang membawa bersama Ricardo Carvalho dan Paulo Ferreira, Luiz Felipe Scolari membawa Deco selain Maurizio Sarri yang mendapatkan Jorginho daripada Napoli.
Jadi, ia menjadi menarik apabila Chelsea mensasarkan pemain daripada Bundesliga walaupun Frank Lampard tiada pertalian terus dengan Jerman – sama ada bermain atau mengendalikan pasukan di sana. Adakah ini polisi perpindahan baharu mereka?
Christian Pulisic telah bersama Chelsea sejak berpindah dari Borussia Dortmund pada musim lalu dan sekiranya Kai Havertz berjaya mereka pancing, Chelsea bakal memiliki gandingan Bundesliga untuk jentera hadapan mereka bersama-sama Werner.
Aksi cemerlang Pulisic ketika mereka menewaskan dan menamatkan cabaran Man City untuk melengahkan kejuaraan Liverpool tempohari memperlihatkan mengapa Chelsea sanggup membayar £58 juta kepada Borussia Dortmund sebelum ini.
Bundesliga: Destinasi pinjamkan pemain
Selain itu, jika dilihatkan rekod silam, Chelsea gemar untuk meminjamkan pemain-pemain mereka ke Jerman tetapi ianya bukanlah destinasi buat mereka mendapatkan pemain baharu. Antara pemain yang dipinjamkan ke sana adalah Michy Batshuyai.
Penyerang Belgium itu merupakan antara salah satu syarat perjanjian ketika mereka mendapatkan Pulisic dan beliau telah dipinjamkan ke Dortmund pada separuh musim 2017/18. Pertahanan muda, Ethan Ampadu pula bersama Werner di RB Leipzig.
Selain mereka berdua, Thorgan Hazard juga melalui musim 2014/15 secara pinjaman di Borussia Monchengladbach sebelum memuktamadkan perpindahan ke sana.
Paling cemerlang melalui pinjaman di sana adalah tonggak Lampard kini, Andreas Christensen yang dipinjamkan ke Monchengladbach antara musim 2015 dan 2016. Di Bundesliga, pemain berusia 24 tahun itu beraksi dalam 62 perlawanan.
Rekod pemain daripada Jerman
Memang Chelsea pernah menandatangani pemain daripada Jerman tetapi ia bukanlah salah satu kecenderungan mereka seperti yang dilihat ketika ini. Michael Ballack dan Claudio Pizarro adalah antara contoh pemain yang datang dari Bundesliga.
Selain dua pemain itu, terdapat enam lagi pemain daripada sana yang hadir ke Stamford Bridge sejak musim 2000 seperti Andre Schurrle, Marko Marin, Khalid Boulahrouz, Baba Rahman, Sebastian Kneissl termasuklah yang terkini, Pulisic.
Tidak dinafikan, majoriti pemain-pemain yang disenaraikan itu gagal memberi impak. Hanya Ballack yang membentuk gandingan di tengah bersama Lampard dan Michael Essien telah tampil cemerlang dengan 166 penampilan dalam empat musim.
Selain itu, Ballack juga cemerlang menghadiahkan The Blues dua kejuaraan Piala FA (2008/09, 2009/10), Piala Liga (2006/07) dan tentunya Premier League 2009/10.
Penutup
Adakah pelaburan mereka kini akan membuahkan hasil? Atau sekali lagi kita akan melihat kegagalan daripada pemain yang mempunyai latar belakang Bundesliga di Chelsea? Namun, sentuhan Lampard dijangkakan akan mampu mengubahnya.
Sehingga kini, Kai Havertz masih belum disahkan akan berhijrah oleh kelabnya, Bayer Leverkusen malah, pertandingan antara Manchester United dan Chelsea untuk mendapatkannya kelihatan sengit biarpun kelabnya yakin beliau akan kekal.
KREDIT FEATURED IMAGE: TRIBUNA