Stopper Dan Last Man: 3 Kesilapan Biasa Jurulatih Kampung Dan Sekolah

Stopper dan last man. Dua perkataan yang anda selalu dengar daripada mulut jurulatih di peringkat sekolah dan kampung.

Semasa saya menyertai pasukan bola sepak sekolah rendah pada 1998, dua pemain paling tinggi dalam pasukan kami diarahkan bermain sebagai stopper dan last man.

Jurulatih kami, Cikgu Razi, mengarahkan stopper untuk merampas bola daripada penyerang pasukan lawan.

“Sampai saja bola ke kaki penyerang mereka, tackle dia.” Begitulah lebih kurang arahan Cikgu Razi kepada stopper kami.

Last man pula akan membantu jika penyerang berjaya melepasi stopper.

“Clear kan bola tu!” jerit Cikgu Razi kepada last man kami sekiranya ada pemain lawan berjaya melepasi kawalan stopper, bek kiri dan bek kanan pasukan kami.

Sistem stopper – last man masih digunakan

Pada sekitar 2012, saya menawarkan diri untuk membantu kawan saya (seorang cikgu Bahasa Malaysia) melatih pasukan bola sepak bawah-18 sekolah menengahnya.

Saya bertanggungjawab melatih taktikal dan aspek pertahanan pasukan. Rakan saya melatih aspek teknikal, kecergasan dan serangan.

Apabila saya membuat latihan 3v3, 4v4 atau 5v5, saya melihat 2 pertahanan tengah kami cenderung untuk bertahan dalam sistem stopper – last man.

Stopper di hadapan last man. Last man di belakang stopper.

Apabila saya mengajar mereka organisasi pertahanan moden dengan 2 pertahanan tengah di sisi masing-masing, mereka memberitahu saya, mereka ‘tidak biasa’.

15 tahun selepas kali pertama saya didedahkan dengan sistem stopper – last man buat kali pertama, saya terkejut sistem ini masih diamalkan dan diajar kepada pemain-pemain muda.

Teori sistem stopper – last man

442 with stopper-last man

Secara asasnya sistem stopper – last man membahagikan tugas 2 pertahanan tengah kepada dua tugas yang berbeza:

1. Stopper perlu segera menutup ruang dan merampas bola.

2. Last man (atau sweeper) perlu memberikan perlindungan (clear bola) jika stopper gagal merampas bola.

Di peringkat sekolah dan kampung, kebiasaannya bek kanan dan diri hanya berfungsi dalam fasa pertahanan saja.

Ini bermakna, mereka tidak akan membuat overlapping runs untuk menyokong serangan.

Kebanyakan bek kiri dan kanan hanya fokus mengeluarkan bola dari kawasan bahaya. Dan membuat hantaran panjang untuk dikejar oleh pemain sayap dan penyerang.

Kelemahan sistem stopper – last man

Memandangkan rakan saya gemar bermain dengan mentaliti menyerang, sistem stopper – last man amat memeningkan kepala saya.

Seperti yang saya beritahu dalam artikel perangkap ofsaid semalam, pasukan yang gemar menyerang perlu push up.

Apabila pasukan perlu push up, mereka perlu bertahan dengan defensive line yang tinggi.

Defensive line yang tinggi akan meninggalkan ruang yang besar di belakang pertahanan tengah.

Dengan majoriti pemain pertahanan tengah kurang laju berbanding penyerang, ruang besar ini boleh dieksploit oleh penyerang dan pemain sayap yang laju.

Satu-satunya cara untuk menyelamatkan pemain pertahanan tengah ketika pasukannya sedang push up adalah dengan perangkap ofsaid.

Jika jentera pertahanan saya hanya boleh bertahan dengan sistem stopper – last man, masalah berikut akan timbul:

1. perangkap ofsaid akan gagal kerana last man perlu sentiasa berada di belakang stopper, bek kanan dan bek kiri.

2. pertahanan saya tidak boleh menjadi kompak dan padat ketika pasukan kehilangan bola.

Masalah #1 – Situasi menentang 1 penyerang

stoppervs1striker

Menentang pasukan yang menggunakan formasi 1 penyerang tengah (contohnya 4-3-3, 4-2-3-1), stopper sudah pastinya akan mengawal ketat penyerang tunggal.

Bek kiri akan mengawal ketat pemain sayap kanan lawan. Manakala bek kanan akan mengawal ketat pemain sayap kiri lawan.

Last man pula kebiasaannya akan berada di belakang stopper. Bersedia untuk ‘menyapu bola’ jika stopper tertewas.

Tetapi ini hanya membuatkan pertahanan saya tidak kompak dan tidak padat.

Terdapat ruang besar di antara bek kanan dan stopper. Ruang besar ini boleh dieksploit oleh pemain tengah yang mara.

Jika bek kanan menutup ruang tersebut, ruang untuk pemain sayap kiri lawan pula akan terbuka luas seperti di bawah:

stoppervs1strikerextra

Masalah #2 – Situasi menentang 2 penyerang

stoppervs2striker

Menentang pasukan yang menggunakan formasi 2 penyerang (contohnya 4-4-2), stopper sudah pastinya akan mengawal ketat penyerang yang mempunyai bola.

Bek kiri akan mengawal ketat pemain sayap kanan lawan. Manakala bek kanan akan mengawal ketat penyerang kedua.

Last man pula kebiasaannya akan berada di belakang stopper. Bersedia untuk ‘menyapu bola’ jika stopper tertewas.

Ini menyebabkan pemain sayap kanan terpaksa membuat kerja defensif untuk menutup ruang pemain sayap kiri lawan.

Jika bek kiri lawan turut naik ke atas, situasi 2v1 pula berlaku di sebelah kanan.

Masalah #3 – Pertahanan menjadi tidak kompak

Last man (atau sweeper) pada asalnya digunakan di Itali dalam sistem 5 pertahanan (back five).

Bukan dalam sistem 4 pertahanan (back four) seperti yang diamalkan dalam bola sepak peringkat sekolah dan kampung.

Mangapa last man berfungsi dalam sistem back five sahaja?

Dengan back five, 4 pemain di hadapan last man boleh meliputi keluasan padang dengan baik.

Dan dengan 4 pemain di hadapan last man, jentera pertahanan tidak akan meninggalkan ruang besar di tengah, kanan dan kiri.

Jika last man digunakan dalam sistem back four, bek kiri dan kanan terpaksa bermain lebih rapat ke tengah untuk menutup ruang besar di tengah.

Pemain sayap pula terpaksa turun ke bawah untuk mengisi ruang yang ditinggalkan bek kiri dan kanan.

Bagaimanakah bola sepak moden menggunakan sistem stopper – last man?

Semasa perlawanan separuh akhir Piala Dunia 1990 menentang Jerman Barat, pengurus England, Bobby Robson, menukar formasi England pada saat-saat terakhir.

Bermain dalam formasi 4-4-2 sepanjang kejohanan, England bertukar ke formasi 5-4-1.

Semuanya gara-gara Robson yang risau kelajuan Jürgen Klinsmann dan Rudi Völler terhadap Terry Butcher.

Jadi untuk perlawanan ini, Robson meletakkan Butcher sebagai last man. Di belakang Des Walker, Mark Wright, Paul Parker dan Stuart Pearce.

Jerman Barat turut menggunakan last man dalam kejohanan tersebut. Last man mereka adalah Klaus Augenthaler.

Tetapi berbanding Terry Butcher yang hanya fokus ‘menyapu bola’ di belakang 4 pemain di hadapannya, Augenthaler akan membawa bola dari bawah ke midfield setiap kali Jerman Barat mempunyai penguasaan bola.

Apabila Jerman Barat hilang penguasaan bola, Augenthaler akan balik semula ke posisinya sebagai last man.

Orang Itali memanggil tugas Augenthaler sebagai libero. Ia bermaksud ‘bebas’ dalam bahasa Itali.

jermanbaratvsengland

Contoh terkini

Tak banyak pasukan menggunakan last man kebelakangan ini.

Dengan banyak pasukan gemar bermain dengan 1 penyerang, meletakkan 1 pemain khas di belakang 4 pemain pertahanan dianggap ‘ultra-defensive’.

Tetapi B. Sathianathan pernah melakukannya di ATM pada musim Liga Super 2014 dan 2015.

Krisis kecederaan pada musim 2014 dan krisis kewangan pada musim 2015 memaksa Sathianathan untuk meletakkan Hairuddin Omar sebagai last man.

Ia berjaya pada 2014. Tetapi gagal pada 2015.

Apa yang menariknya, dengan kebanyakan pasukan gemar push up dan bermain dengan defensive line yang tinggi, tugas last man kini dipikul oleh penjaga gol.

460409870

Mula dipelopori oleh Manuel Neuer, penjaga gol sekarang adalah jelmaan last man yang biasa kita lihat dalam bola sepak peringkat MSSD dan kampung.

Clear saja bola itu, Neuer!

Baca juga: PENGENALAN KEPADA PERANGKAP OFSAID

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN