Walaupun selepas 19 tahun bergelar sebagai pemain profesional di Liverpool dan LA Galaxy, Steven Gerrard masih ‘ketagih’ bola sepak. Dan ketagihan itu mesti dirawat.
“Saya rindu bermain bola sepak semasa Krismas. Ketika zaman saya bermain, kami sentiasa ada latihan selama sejam,” kata pengurus skuad bawah-18 Liverpool ini. “Tambahan pula, saya hanya suka malam Krismas. Saya tak berapa suka bila saya tidak bermain selama beberapa minggu.”
Gerrard tahu arah tuju hidup beliau selepas bersara sebagai pemain – menjadi ketua jurulatih pasukan senior. Cuma beliau tidak mahu terburu-buru.
Tawaran mengurus MK Dons di League One pernah tiba sejurus selepas beliau mengumumkan persaraannya. Bagi bekas kapten Liverpool ini, tawaran tersebut membuatkan beliau tertanya-tanya, “Adakah saya benar-benar sudah bersedia?”
Atas sebab itulah beliau kini mengurus pasukan bawah-18 akademi Liverpool di Kirkby.
Tawaran tersebut diberi oleh Liverpool untuk menghargai sumbangan lagenda dan bekas kapten mereka. Sebaliknya ia adalah tugas hakiki. Jurgen Klopp mengarahkan Gerrard untuk mengikut arahannya dan belajar sebelum mengambil apa-apa tugas sebagai ketua jurulatih.
Ini bermakna Gerrard perlu belajar dari staf akademi Liverpool, memilih pemain, menentukan taktik, mencari falsafah bola sepak, mengurus masalah peribadi pemain, memuji pemain, membantu pemain lemah dan merasai kekecewaan – sebelum mengetahui sama ada beliau benar-benar bersedia atau tidak untuk menjadi pengurus.
Pengalaman mengurus pasukan akademi ini memberi peluang kepada Gerrard untuk belajar tanpa perhatian media, kamera dan penyokong. Tanpa kritikan melampau dan pujian melambung.
Tunjuk contoh kepada pemain
Salah satu tugas jurulatih adalah menunjukkan contoh yang baik kepada pemain-pemain. Gerrard tahu betapa pentingnya tugas jurulatih untuk menjadi ikutan yang baik. Atas sebab itulah beliau bekerja 17 jam sehari, 6 hari seminggu di akademi Liverpool.
“Sebagai pemain saya boleh berehat selepas perlawanan tamat. Tetapi sebagai jurulatih, saya tak boleh berbuat begitu,” kata bekas pemenang trofi UEFA Champions League 2004/2005 ini.
“Selepas perlawanan, saya perlu fikirkan apa yang tak kena? Apa yang menjadi? Pemain mana yang perlu diberikan perhatian istimewa minggu ini? Siapa yang perlu saya puji? Siapa yang perlu saya tegur? Siapa yang nakal di sekolah?”
Sebagai pengurus pasukan bawah-19 Liverpool yang bersaing dalam UEFA Youth League, Gerrard juga perlu menghadapi isu pemain-pemainnya yang diejek oleh penyokong Spartak Moscow yang rasis sebanyak dua kali pada musim ini.
Bobby Adekanye diejek di Moscow. Rhian Brewster di Prenton Park. Pengalaman ini membuatkan Gerrard lebih menghormati kerja sebagai pengurus pasukan. “Saya pernah berhadapan dengan isu rasisme ketika bergelar sebagai pemain. Tetapi apabila anda berhadapan dengan isu ini sebagai jurulatih, ia benar-benar memberikan saya pengajaran dan peluang untuk belajar.”
Prestasi cemerlang Gerrard sebagai jurulatih
Meskipun baru belajar, Gerrard sudah pun menunjukkan tanda-tanda sebagai jurulatih yang bagus jika keputusan perlawanan skuad bimbingannya menjadi ukuran.
Skuad Liverpool Bawah-18 kini menduduki tangga teratas liga tanpa kalah. Di UEFA Youth League, Liverpool menang 5 daripada 6 perlawanan, sekaligus menjuarai kumpulan mereka dan layak ke peringkat suku akhir.
Steven Gerrard's record as a manager so far:
Top of U18 Premier League
Top of U19 UEFA Youth League Group
Lost 1 in 21 Matches pic.twitter.com/Qf3g84HTTc— Mootaz Chehade (@MHChehade) December 20, 2017
Gerrard sedar di peringkat akar umbi, keputusan bukanlah segalanya. Tetapi beliau tetap berpendapat adalah penting bagi beliau untuk menerapkan mentaliti kemenangan kepada anak-anak buahnya.
“Saya bukan jenis jurulatih akademi yang berkata keputusan perlawanan tak penting. Yang penting adalah pemain dapat berkembang,” katanya. “Anda perlu juga ajar pemain tentang mentaliti kemenangan.”
“Anda tak boleh cakap ‘sekarang anda kena menang’ kepada pemain berumur 18 tahun ke atas. Jika ada jurulatih tanya adakah saya mahu menang atau kembangkan bakat pemain muda sehingga dapat masuk skuad senior, saya akan jawab dua-dua.”
Tidak pernah tunjukkan video aksinya bermain
Dengan statusnya sebagai lagenda kelab, Gerrard tidak melakukan kesilapan sama sebagaimana yang sering dilakukan oleh pemain-pemain bola sepak bertaraf lagenda kepada pemain-pemain muda.
“Saya tak pernah mengenang zaman saya bermain di depan pemain-pemain saya. Saya tak pernah tunjukkan video saya bermain dan berkata ‘Lihat ini’ kepada mereka,” dedah jurulatih berusia 37 tahun ini.
“Jika saya mahu tunjukkan sesuatu dari segi taktikal kepada pemain, saya akan gunakan video skuad senior Liverpool sekarang atau pasukan lain. Karier saya sebagai pemain sudah berakhir. Dulu lain, sekarang lain.”