Jika hal ini terjadi, maka ianya bakal menjadi suatu perkara yang mengujakan bola sepak Scotland!
Pengurus skuad B-18 Liverpool dan juga ikon kelab tersebut iaitu Steven Gerrard kini disebut-sebut sebagai bakal pengurus baharu bagi pasukan Rangers.
Spekulasi ini menjadi kencang selepas para bookie terutamanya di Scotland telah meletakkan beliau sebagai calon utama untuk menduduki kerusi panas kelab Glasgow itu.
Selain Gerrard, beberapa nama lain turut disebut-sebut seperti bekas pertahanan Rangers sendiri iaitu Frank De Boer, Neil Warnock dan juga pengurus Ostersund berbangsa Inggeris – Graham Potter.
Spekulasi ini bermula apabila Gerrard dilihat berada di Ibrox ketika perlawanan Old Firm Derby melibatkan Celtic dan Rangers pada bulan Mac.
Ianya menjadi semakin kencang apabila pengerusi Rangers iaitu Dave King dikesan berada di Anfield pada perlawanan UEFA Champions League di antara Liverpool dan juga AS Roma tempoh hari.
Menurut sumber di Scotland, Gerrard dikatakan sudah pun berbincang dengan Rangers mengenai potensi menjadi pengurus kelab itu namun belum ada pengumuman rasmi dilakukan.
Jika hal ini terjadi, Gerrard bakal menggantikan Greame Murty yang bertindak sebagai pengurus Rangers sehingga akhir musim.
Karier Murty sebagai pengurus Rangers sepertinya tidak akan dipanjangkan pengurusan atasan Rangers terutamanya selepas Rangers dibelasah Celtic 4-0 dalam aksi Scottish Cup tempoh hari.
Selain itu, kerjaya sebagai pengurus Rangers ini bakal menjadi kerjaya pertama Gerrard sebagai pengurus pasukan senior walaupun pernah ditawarkan menjadi pengurus MK Dons satu ketika dahulu.
Lebih menarik, jika benar Gerrard menjadi pengurus Rangers beliau akan berhadapan bekas pengurusnya sendiri iaitu Brendan Rodgers dalam Old Firm Derby. Menarik untuk disaksikan!