Legenda hidup Liverpool, Steve McManaman menyifatkan rekrut terbaru The Reds, Virgil Van Dijk sudah membuktikan sesuatu pada penampilan sulungnya di Anfield.
McManaman memuji prestasi yang ditampilkan Van Dijk pada perlawanan pusingan ketiga Piala FA menentang Everton, yang menyaksikan pertahanan termahal dunia itu menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-84.
Beliau juga mempamerkan persembahan yang terpuji dengan mengemudi jentera pertahanan dengan baik.
Bekas pemain Liverpool yang turut pernah beraksi untuk Real Madrid dan Manchester City itu juga melihatkan Van Dijk sudah bersedia untuk mengetuai barisan pertahanan Liverpool yang sebelum ini dibelenggu masalah kerapuhan di posisi tersebut.
”Dia kelihatan sangat berdisiplin dan begitu tersusun. Itu merupakan perlawanan yang sukar buatnya kerana dia baru sahaja sampai di Liverpool,” kata McManaman kepada Goal.
”Itu merupakan perlawanan yang sukar untuk dia turut serta dan faktanya dia berjaya menghasilkan jaringan kemenangan. Ia sangat hebat.”
”Dia kelihatan begitu berbahaya ketika situasi ‘set pieces’. Dia juga turut mendapat peluang lebih awal daripada jaringan yang diperolehinya. Tiada ada cara yang lebih baik untuk disayangi oleh para peminat dengan menjaringkan gol kemenangan ketika pertembungan derbi.”
”Dia telah memenangi separuh daripada pertempuran itu. ”
”Kami tahu bahawa dia merupakan seorang pemenang tetapi hakikatnya dia telah menjaringkan gol kemenangan dalam perlawanan derbi yang hebat. Liverpool tidak memperoleh banyak peluang pada perlawanan itu, suatu perkara yang tidak biasa bagi mereka.”
”Dia kelihatan seperti penambahan yang sangat baik buat Liverpool ketika ini.”
McManaman turut berpendapat nilai tinggi yang diletakkan keatas Van Dijk itu tidak membuatkan pemain pertahanan antarabangsa Belanda itu berada dalam tekanan.
”Saya rasa orang ramai tidak perlu untuk fokus pada tanda harganya. Ianya menjadi semakin mengarut,” tambah beliau lagi.