Nama Stefano Brundo mungkin dianggap kurang terkenal sebenarnya dalam kalangan peminat bola sepak tempatan bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) jika dibandingkan oleh pemain-pemain import lain.
Mula menyertai Tok Gajah pada awal musim 2023, konsistensi pemain kelahiran Argentina ini daripada segi impak di atas padang serta penghasilan gol tidak perlu dipertikaikan lagi.
Beraksi selaku pertahanan tengah buat Sri Pahang, Brundo dianggap berjaya menjalankan tugas secara peribadi dengan sangat baik walaupun kelab itu memiliki isu konsistensi dalam setiap perlawanan dihadapi.
Seperti musim lalu, Sri Pahang sebenarnya memiliki isu kualiti penyudah yang sedikit kritikal walaupun memiliki penyerang import bersama reputasi tinggi seperti Kpah Sherman dan tonggak dari Brazil iaitu Lucas Silva.
Walaupun begitu, Brundo tampil dengan tawaran gol yang sangat baik untuk menyelamatkan keadaan semasa Sri Pahang yang tumpul di posisi serangan.
Rekod musim lalu menyaksikan Brundo telah pun meledak 12 gol secara keseluruhan daripada 30 perlawanan domestik yang dihadapi dengan membabitkan Liga Super, Piala FA, serta Piala Malaysia.
Lebih menarik, Brundo sebenarnya tidak beraksi di posisi serangan ketika itu dengan sebaliknya beliau lebih banyak diletakkan selaku pertahanan tengah serta tengah bertahan.
Rekod positif itu dilihat cuba diulangi Brundo yang terus mempamerkan ketajaman cukup baik untuk membantu Tok Gajah meraih keputusan positif musim ini.
Ketika ini, Brundo sudah pun merekodkan empat jaringan daripada sembilan perlawanan yang turut membabitkan kejohanan Piala FA bagi musim 2024/2025.
Lebih menarik, aksi terbaharu semalam menjadi antara terbaik buat pemain berusia 31 tahun itu apabila beliau meledak dua gol sewaktu Sri Pahang berpesta jaringan mengatasi PDRM.
Kualiti dan statistik yang dipamerkan oleh Brundo ini merupakan sesuatu yang sangat baik sebenarnya untuk menjadi contoh import berkualiti sepatutnya dimiliki mana-mana pasukan.
Walaupun begitu, nama beliau sentiasa dibayangi oleh kebanyakan pemain import lain sebenarnya di pentas Liga M dan itu menjadikan beliau sangat ‘underrated’ sejak saingan musim lalu.
Melihat pada momentum semasa beliau, sesuatu yang tidak menghairankan jika Brundo berkemungkinan akan terus dikekalkan lagi untuk saingan hadapan jika beliau tidak dibatasi isu kecederaan.