Status dua calon pemain naturalisasi, Liridon Krasniqi dan Guileherme de Paula hanya akan diketahui pada pertengahan Februari akan datang.
Sebelum ini Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjangkakan keputusan permohonan kepada Perseketuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) boleh diketahui pada Januari ini.
Namun demikian keputusan tersebut terpaksa ditangguhkan selepas FIFA memerlukan dokumen tambahan membabitkan kedua-dua pemain tersebut.
Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam ketika menjelaskan kepada Berita Harian, pihaknya sudah mengemukakan dokumen tambahan seperti diminta badan induk bola sepak dunia itu.
“Sekarang kita tunggu maklumbalas (keputusan) daripada FIFA. Biasanya mereka akan mengambil masa seminggu atau dua minggu dan saya jangka mungkin pertengahan Februari kita akan dapat maklumbalas,” kata Stuart.
“Sebelum ini kita sudah hantar dokumentasi dan sekarang ini adalah dokumen tambahan. Kita memerlukan maklum balas daripada negara (asal pemain), seperti dari Kosovo untuk Liridon dan Brazil (De Paula).
“Kita juga memerlukan dokumen daripada pihak ketiga yang mungkin kadang-kadang tak sepantas yang kita mahu. Jadi semua dokumen itu sudah kita terima pada hujung tahun lalu,” katanya.
Usaha mendapatkan kelulusan dari FIFA adalah salah satu proses yang perlu dilakukan oleh FAM sebelum mengemukakan permohonan mendapatkan kerakyatan negara ini daripada kerajaan Malaysia.
Liridon Krasniqi kini sudah bersama pasukan JDT, tatkala De Paula menyertai pasukan Perak untuk saingan Liga Malaysia 2020.