Status Fandi Ahmad Untuk Membarisi Kejurulatihan Sri Pahang Masih Ura-Ura

Sri Pahang ibarat mendapat suntikan motivasi baharu sekiranya mereka berjaya mendapatkan khidmat pengendali dari Singapura iaitu Fandi Ahmad untuk menerajui pasukan tersebut dalam baki saingan Liga Super 2022.

Menurut Datuk Mohammed Suffian Awang selaku Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pahang, beliau menganggap ia sebagai sebagai suatu kepuasan sekiranya Fandi Ahmad bersama kelab tersebut pada masa akan datang.

Jelas beliau, nama Fandi Ahmad bukan lagi sesuatu yang asing dalam dunia bola sepak Pahang apabila bekas pemain kebangsaan Singapura itu pernah menyarung jersi skuad berkenaan pada era 90-an serta membantu pasukan tersebut meraih Piala Malaysia pada tahun 1992.

Selain itu, Suffian juga tidak menafikan sekiranya gandingan Fandi Ahmad bersama Dollah Salleh untuk mengemudi Sri Pahang mampu untuk mencetuskan sesuatu yang positif dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).

“Pastinya senario dan budaya Pahang, Fandi sudah masak dan faham. Apatah lagi kalau bersama dengan Dollah Salleh, yang dikatakan kedua-dua mereka sahabat lama,” katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Rakan Kongsi Liga Luar Biasa Ketiga Liga Bolasepak Malaysia (MFL), semalam menerusi Bernama.

Dalam masa sama, Suffian mengakui pengurusan pasukan ada menghubungi Fandi Ahmad untuk membincangkan hala tuju mereka pada masa akan datang.

Namun, sehingga kini tiada persetujuan masih dapat dicapai dan Sri Pahang bakal memutuskan tarikh bersesuaian untuk membincangkan hal berkenaan secara rasmi.

“Buat masa ini Fandi hanya ura-ura dan sekiranya ada keputusan konkrit kita akan maklumkan. Buat masa ini kita kekal dengan (kejurulatihan) yang ada sehingga keputusan yang disebutkan ura-ura itu akan menjadi realiti,” katanya.

Sebelum itu, tercetus khabar angin di media sosial apabila nama Fandi Ahmad dikaitkan untuk mengemudi Sri Pahang setelah khidmat bekas pengendali, Christophe Gamel ditamatkan beberapa minggu lalu secara persetujuan bersama.

Untuk menguatkan lagi perkara tersebut, Fandi Ahmad juga dilaporkan telah melepaskan jawatan beliau bersama Persatun Bolasepak Singapura (FAS) selaku Ketua Unit Pembangunan Belia Elit pada hujung bulan lalu.

Untuk rekod, Fandi Ahmad pernah membimbing beberapa pasukan handalan seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), skuad kebangsaan Singapura, kelab pembangunan Singapura Young Lions, serta skuad Singapura bawah 23 (B-23) tahun lalu dalam saingan Sukan SEA.

Seterusnya, Suffian juga mengesahkan ada beberapa jurulatih menyatakan rasa minat untuk membimbing Sri Pahang ketika ini setelah kekosongan yang ditinggalkan oleh Gamel.

Namun untuk ketika ini, beliau mahu fokus diberikan buat persiapan Sri Pahang bagi menghadapi aksi suku akhir Piala FA pada hari Sabtu ini dengan Dollah Salleh bakal membimbing sementara pasukan tersebut.

Untuk rekod, Sri Pahang pada musim 2022 ini bermula dengan sedikit lesu apabila menduduki tangga ke-11 carta Liga Super setelah mengutip 13 mata daripada 11 perlawanan dilalui.

Sumber:
BERNAMA

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN