Aksi menentang Leicester City pada awal pagi semalam merupakan perlawanan ke-38 buat Mikel Arteta dalam membimbing Arsenal sejak beliau menjawat tugasan tersebut pada 29 Disember 2019.
Meskipun berjaya membawa Arsenal menjulang trofi Piala FA 2019/20 dan Perisai Komuniti musim ini, Arteta sebenarnya mencatatkan statistik yang lebih buruk berbanding pengendali terdahulu, Unai Emery, dari pelbagai aspek.
Emery yang dipecat selepas hanya 18 bulan bersama kelab London itu kini kembali ke Sepanyol untuk membimbing kelab La Liga, Villareal.
Menurut laporan dikeluarkan Sport Bible, Emery telah mencatatkan 23 kemenangan pada 38 perlawanan awal bersama Arsenal dalam semua pertandingan yang mana Arteta kekurangan dua kemenangan berbanding rakan senegaranya itu.
Dalam saingan Liga Perdana Inggeris pula, Emery menikmati 15 kemenangan pada 26 perlawanan awal manakala Arteta pula sekadar memenangi 12 perlawanan.
Kemenangan buat Arteta itu menjelma menerusi sembilan perlawanan pada musim lalu dan tiga lagi pada kempen 2020/21.
Skuad Emery turut lebih berbisa di hadapan gol setelah berjaya meledakkan 74 gol. Sementara itu, Arsenal yang sebahagian besar mencatatkan kemenangan dengan kelebihan satu gol ketika dibimbing Arteta mencetak 58 jaringan.
Bagaimanapun dari aspek bertahan, Arteta telah memperbaiki jentera pertahanan apabila dibolosi sebanyak 35 gol berbanding Arsenal ketika dibimbing Emery yang bolos 47 gol.
Cabaran berat ketika ini digalas Arteta walaupun sudah menghadiahkan trofi buat Arsenal pada musim lalu kerana gelaran liga sudah pasti menjadi keutamaan kelab yang pernah bergelar juara EPL dengan rekod tanpa kalah itu.
Arsenal ketika ini menduduki tangga ke-11 liga selepas mengumpul sembilan mata hasil tiga kemenangan dan tiga kekalahan setakat ini.
Kredit featured image: Julian Finney/Getty Images