Kita sudah sering kali melihat kelibat Farizal Marlias dan Khairulazhan Khalid di pintu gawang Harimau Malaya, namun aksi daripada dua pemain ini, Kalamullah Al-Hafiz dan Syihan Hazmi dilihat masih belum kunjung tiba.
Selepas penampilan sulungnya bersama skuad kebangsaan dalam perlawanan tidak rasmi menentang Palestin di usia 17 tahun, Syihan Hazmi sudah tiada dalam kem negara. Adakah beliau sudah bersedia untuk kembali?
Kalamullah pula sudah beberapa kali tersenarai ke Kelana Jaya, namun belum diturunkan beraksi secara rasmi.
Mungkin dalam dua perlawanan persahabatan menentang Brunei dan Hong Kong, mereka akan dapat peluang.
Selain Tiket Kombo RM100 #ACQ2023, penyokong Harimau Malaya juga sudah boleh membeli tiket Perlawanan Antarabangsa bertemu Brunei & Hong Kong di https://t.co/yPVcBB3eyw berharga RM30 dewasa & RM7 kanak-kanak.
* Harga tidak termasuk caj pemprosesan & caj bank#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/zZR61CzdOW
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) May 18, 2022
Farizal merupakan penjaga gol paling senior yang masih bersama skuad Harimau Malaya dengan kini sudah berusia 35 tahun. Beliau juga masih konsisten diturunkan dalam kesebelasan utama Johor Darul Ta’zim (JDT).
Beraksi bersama juara lapan kali Liga Super itu menjadikannya calon tiada tandingan menyebabkan penjaga gol lain masih kempunan untuk tampil bersama skuad negara. Itulah yang dilalui oleh Khairulazhan selama ini.
Berusia 32 tahun, Khairulazhan masih dibayangi penampilan Farizal bersama skuad kebangsaan dengan hanya 14 penampilan direkodkan sejak Mac 2014 berbanding Farizal yang sudah memiliki 50 kaps sejak Julai 2009.
Adakah Farizal penjaga gol terbaik dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) terutamanya Liga Super setakat ini?
Penyedia statistik persendirian, Data Sukan telah mengeluarkan statistik ringkas keempat-empat mereka.
Bersandarkan data ringkas itu, Syihan memiliki rekod yang memungkinkan beliau adalah yang terbaik kini.
Ini kerana, rekod peratus aksi menyelamat yang dilakukan oleh penjaga gol Negeri Sembilan FC itu adalah 81 peratus dalam tujuh penampilannya – tertinggi di kalangan mereka berempat. Farizal jauh ketinggalan dengan hanya 70 peratus aksi menyelamat dilakukan dalam hanya tiga perlawanan – yang kedua terbaik dalam senarai.
Jika melihat rekod ‘Expected Conceded’ (xCG), semakin jelas yang penjaga gol berusia 26 tahun itu adalah yang terbaik. Beliau dijangkakan akan melepas 8.74 gol, namun beliau hanya melepaskan tujuh gol – kurang satu gol daripada sepatutnya. Sementara Farizal pula merekodkan 2.51 bolos tetapi telah dibolosi sebanyak tiga kali.
Penjaga gol JDT itu seperti yang diketahui, jarang diuji penyerang lawan disebabkan benteng yang kukuh.
Beliau hanya menghadapi 10 percubaan dalam tiga perlawanan dan Syihan telah berdepan 37 percubaan.
Syihan kembali mendapat perhatian selepas membantu Negeri Sembilan berada di kedudukan ke-3 liga.
The Jangs baru meraih promosi ke Liga Super musim ini selepas menjuarai saingan Liga Premier 2021.
Beliau menjadi pilihan utama pengendali, K. Devan untuk musim pertama kembali ke Liga Super dan setakat ini, aksinya tidak mengecewakan selepas terpaksa melalui penggantungan selama dua tahun akibat kes positif doping pada 2018. Kes itu memberi pengajaran buatnya agar berhati-hati memilih makanan tambahan.
Diharapkan Syihan atau Kalamullah akan diberikan peluang berdepan Brunei ataupun Hong Kong. Sudah agak lama kita tidak melihat kelibat penjaga gol lain selain Farizal atau Khairulazhan di pintu gawang negara.
Statistik tidak menipu. Yang menipu mungkin manusia yang tidak langsung percaya data atau statistik.