Nama Kim Pan-gon pastinya akan terus disebut selepas ini atas sumbangannya buat bola sepak kebangsaan Malaysia yang dianggap begitu pesat membangun di pentas antarabangsa.
Tiada siapa menyangka pengendali dari Korea Selatan itu bakal mencipta kejutan selepas dirinya menamatkan kontrak lebih awal bersama Harimau Malaya.
Walhal pada beberapa bulan lalu, Kim tampil bersemangat untuk mengharungi kejohanan Piala AFF yang akan berlangsung pada tahun ini serta melihat peluang negara di pentas Pestabola Merdeka tidak lama lagi.
Ketika ini, Kim sudah pun sah dilantik selaku ketua jurulatih baharu buat Ulsan HD dalam saingan utama di Korea Selatan menerusi satu pengumuman beberapa hari lalu.
Kim Pan Gon bersama Malaysia
907 hari
35 perlawanan
20 menang
5 Seri
10 Kalah
61 Pemain digunakan secara keseluruhan
Lantik 21 Jan 2022
FIFA Ranking 154 ke 135 duniaTerima kasih. pic.twitter.com/j62epllRxT
— Bolanalytics (@Bolanalytics) July 16, 2024
Hanya dirinya sahaja mengetahui apakah faktor sebenar bagi isu pengunduran diri dengan lebih awal ini dengan jawapan komitmen peribadi dipersembahkan kepada orang ramai.
Sejak memegang tugas selaku pengendali Harimau Malaya pada Januari 2022, kita boleh melihat bagaimana komitmen tinggi diberikannya bersama pasukan kejurulatihan lain sehingga membawa perubahan cukup positif buat bola sepak negara.
Tatkala kepercayaan segelintir peminat buat bola sepak negara kian luntur setelah melihat kedudukan ranking serta prestasi lalu, hadir Kim membuktikan Malaysia masih mampu mengaum di pentas antarabangsa.
Titik tolak kejayaan beliau pastinya ketika Kim memastikan Malaysia buat pertama kali selepas 41 tahun layak secara merit ke pentas saingan Piala Asia 2023 di Qatar.
Tidak hanya itu, Kim juga hampir mencipta sejarah untuk melangkah ke pentas akhir Piala AFF 2022 bersama barisan pemain pilihan kedua serta kurang berpengalaman sehingga mendapat pujian positif para penyokong.
Kim membuktikan pilihan pemain tempatan untuk bersama skuad kebangsaan masih lagi luas dan sentiasa memberi peluang kepada mereka yang layak menyarung jersi Harimau Malaya.
Menerusi statistik penuh jurulatih tersebut, beliau telah pun mengharungi 35 perlawanan bersama Harimau Malaya dengan catatan cukup positif jika dibandingkan pengendali-pengendali terdahulu.
Secara keseluruhan, Kim berjaya memastikan Malaysia memenangi 35 perlawanan, 5 kali seri, serta hanya merekodkan 10 kekalahan sahaja bersama 61 pemain pernah mendapat peluang bawah kendalian beliau.
Kemenangan paling besar pastinya ketika Malaysia cemerlang mengetepikan cabaran Papua New Guinea menerusi keputusan 10-0 serta mengikat jaguh Asia, Korea Selatan 3-3 di pentas Piala Asia.
Daripada segi kedudukan ranking, tiada siapa menyangka Kim dapat memperbaikinya dengan begitu pantas apabila Malaysia yang pada asalnya berada pada tangga ke-154 mendaki kepada 135 dunia.
Ketiadaan Kim selepas ini pastinya akan dirasai, namun sama-sama kita doakan supaya pemangku jurulatih iaitu Pau Marti mampu memberikan keputusan yang sama cemerlang pernah dilakukan oleh jurulatih tersebut.