Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Stanley Bernard berkata beliau rela melepaskan Bojan Hodak sekiranya benar jurulatih itu disunting oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk bergelar Ketua Jurulatih baharu skuad Harimau Malaya.
Jawatan Ketua Jurulatih skuad kebangsaan menjadi kosong selepas Tan Cheng Hoe meletakkan jawatan dua hari lalu.
Peletakan jawatan jurulatih berusia 53 tahun itu berlaku atas rasa tanggungjawab terhadap prestasi hambar pasukan negara di kejohanan Piala AFF di Singapura pada Disember lalu.
Dan sejak sebulan yang lalu, nama Bojan Hodak mulai menjadi sebutan bakal menggantikan Tan Cheng Hoe, terutamanya selepas jurulatih skuad B-19 tahun negara itu berjaya membawa KL City FC muncul juara Piala Malaysia 2021.
Hodak tidak terkejut
Ketika ditemuramah oleh Astro Arena pada bulan lalu, Hodak sendiri menagkui tidak terkejut nama dirinya dikaitkan sebagai calon untuk mengendalikan skuad negara.
Berdasarkan kejayaan yang dibawa bersama KL City FC musim ini selain pelbagai pencapaian dan rekod ketika mengendalikan pasukan lain dalam Malaysia, tidak mustahil namanya turut dikaitkan.
Jurulatih @KLCityFootball , Bojan Hodak akui tidak 'terkejut' dikaitkan sebagai pengganti jurulatih skuad Malaysia, Tan Cheng Hoe. Bojan juga percaya bahawa dia faham tentang bagaimana FAM berfungsi. pic.twitter.com/EGgrj0xSL5
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) December 23, 2021
Dan semalam ketika bercakap kepada saluran televisyen yang sama, Hodak turut memberi petanda beliau sudi menerima jawatan tersebut dengan syarat diberikan kuasa penuh tanpa campur tangan pihak luar ketika mengendalikan pasukan.
Bojan Hodak beri syarat. Andai dia di beri mandat sebagai pengganti TCH, jangan ada campur tangan ketika dia menjalankan tugas.@ASTROARENA
— FinaNasrom (@fnasrom) January 4, 2022
Di peringkat ini, sukar untuk kita menafikan FAM tidak mengambil maklum akan minat yang ditunjukkan oleh Hodak untuk bergelar Ketua Jurulatih skuad kebangsaan yang baharu.
Stanley relakan Hodak
Buat masa ini belum ada rundingan telah dilakukan oleh pihak FAM bersama KL City FC mengenai status Bojan Hodak seperti yang dikongsikan oleh wartawan The Star, T. Avineshwaran pada hari ini.
There have been no formal or informal talks between Kuala Lumpur and FAM regarding Bojan Hodak’s availability for the national team. But, CEO Stanley Bernard said if it happens, he will support the move. #HarimauMalaya
— T. Avineshwaran (@avineshW90) January 5, 2022
Bagaimanapun CEO KL City FC, Stanley Bernard dipercayai tidak mempunyai halangan untuk Bojan Hodak berbuat demikian sekiranya mendapat tawaran daripada FAM.
Malah berdasarkan perkongsian Avineshwaran, Stanley akan menyokong pelantikan Hodak sebagai jurulatih pasukan negara yang baharu.
Selain Bojan Hodak terdapat khabar angin pengendali skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Brad Maloney akan memangku tugas sebagai jurulatih sementara skuad Harimau Malaya.