Stamina ‘Ke Laut’ Jadi Faktor Kenapa Kedah Tewas Kepada JDT

Kedah Darul Aman (KDA) terus dirundung duka apabila mencatat kekalahan kali kedua berturut-turut di laman sendiri dalam aksi Liga Super untuk terus keciciran mata.

Terbaharu, mereka mencatat kekalahan 1-3 di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) semalam di Alor Setar menerusi aksi permainan yang jelas tidak menyakinkan.

JDT pula, ketiadaan seorang pemain mereka iaitu Bergson da Silva jelas tidak merencatkan gaya permainan kelab tersebut untuk terus menyakinkan di separuh masa kedua.

Dua jaringan yang terhasil di separuh masa kedua oleh pasukan pelawat cukup untuk membuktikan KDA jelas mempunyai pelbagai masalah sepanjang perlawanan berlangsung.

Meskipun ada rombakan dibuat dalam kesebelasan utama semalam, Aidil Sharin Sahak selaku pengendali KDA pastinya akan terus membuat kerja tambahan untuk mengesan segala bentuk kelemahan pasukan.

Ini antara faktor mengapa KDA gagal untuk mengambil peluang beraksi dengan berkelebihan seorang pemain bagi mengatasi JDT di laman sendiri.

Pertahanan yang rapuh

Walaupun Aidil Sharin jelas meletakkan lima pemain pertahanan semalam menerusi formasi permainan 5-4-1, KDA dilihat tetap mudah dibocori pihak lawan dari segenap arah.

Pertahanan kanan KDA, Kamil Akmal nyata menghadapi kesukaran pada perlawanan semalam di separuh masa pertama untuk mengawal Akhyar Rashid daripada terus mendominasi posisi tersebut.

Dari aspek persefahaman, hanya Marc Vales sahaja berjaya menawarkan sesuatu diperlukan KDA untuk menenangkan keadaan sementara Akmal Zahir dan Rodney Celvin kerap kehilangan posisi dan mengeluarkan bola dengan sia-sia untuk dirampas pelawat.

Malah dalam situasi satu lawan satu juga menyaksikan pelawat berjaya memperdayakan pertahanan KDA sebelum ada terjahan-terjahan tidak perlu telah dibuat barisan pemain tuan rumah.

Tiada kreativiti buru jaringan

Disebabkan KDA terlalu menumpukan bahagian pertahanan, mereka nyata hanya mengharapkan situasi serangan balas untuk mencari gol dalam perlawanan.

Walaupun mendapatkan gol pertama menerusi Ronald Ngah Wanja, jaringan tersebut lebih kepada gerakan individu tersebut dan tiada sebarang pergerakan kreatif dijelmakan.

Mahmoud Al-Mardi dan Fayadh Zulkifli pula hanya bertumpukan kepada gerakan individu mereka untuk mencuba nasib bagi melepasi benteng pertahanan lawan sepanjang aksi berlangsung.

Jentera KDA pada perlawanan semalam jelas tenggelam menerusi dominasi yang dipamerkan oleh pemain lawan dan tidak dapat membuat apa-apa.

Stamina pemain menurun

Sesuatu yang sangat jelas pada aksi semalam apabila corak permainan KDA semakin menurun terutama sekali di separuh masa kedua.

Jika separuh masa pertama KDA berjaya mengimbangi sedikit penguasaan lawan menerusi kekuatan fizikal dan kepantasan, jelas perkara tersebut tidak dapat berulang lagi di babak kedua permainan.

Malah Arif Aiman dilihat lebih selesa dan mempunyai banyak peluang untuk bergerak menerusi kepantasannya setelah menyedari intensiti dipamerkan KDA semakin menurun.

Leave a Reply