Lihat Hasil Kerja Staf Padang Leicester City Ini. Bagaimana Mereka Lakukannya?

Staf padang Leicester City perlu diberi penghargaan atas kreativiti dan kerja keras mereka. Lihatlah rupa padang mereka menjelang perlawanan terakhir Premier League 2016/2017 menentang AFC Bournemouth ini.

Ia melambangkan hasil kerja staf padang yang bangga dan seronok dengan kerja mereka di King Power Stadium.

Dan yang paling mengagumkan, ini bukan kali pertama hasil kerja staf padang Leicester City mendapat pujian. Lihatlah keadaan padang Leicester sebelum ini:

Bagaimana staf padang Leicester City melakukannya?

Untuk menghasilkan corak padang seperti yang dilakukan staf padang Leicester City di King Power Stadium, mereka menggunakan teknik ‘lawn striping’.

Corak ‘belang’ yang anda lihat di padang bola sepak terhasil kerana kesan pemantulan cahaya (matahari dan lampu limpah) ke rumput.

Corak belang tersebut bukanlah terhasil kerana rumput dipotong pada ketinggian berbeza-beza atau menggunakan baka rumput yang berbeza-beza.

Sebaliknya corak belang tersebut terhasil dengan ‘membengkokkan’ rumput pada arah yang berbeza.

Jadi secara ringkasnya, arah rumput dibengkokkan itulah yang memberi corak belang kepada padang.

Apabila rumput dibengkokkan ke arah anda (⬇), rumput akan kelihatan ‘gelap’ kerana anda sedang melihat bahagian rumput yang kurang reflektif kepada cahaya dan bayang-bayang di bawah rumput.

Apabila rumput dibengkokkan ke arah lain (⬆), rumput akan kelihatan ‘cerah’ kerana anda sedang melihat bahagian rumput yang lebih reflektif kepada cahaya.

Apakah peralatan yang digunakan?

Staf padang Leicester City menggunakan Dennis G860 Mower sebagai peralatan lawn striping mereka.

Anda boleh lihat video di bawah untuk mengetahui bagaimana mereka menggunakan peralatan ini untuk membuat corak belang di padang King Power Stadium.

Bagaimana staf padang Leicester City membuat grafik kompleks di atas padang?

Menurut rancangan Soccer AM, staf padang Leicester City ‘mencetak’ grafik yang mereka ingin buat di atas padang dengan menggunakan laser.

Laser ini akan menghalakan tekanan udara yang tinggi ke arah rumput untuk ‘membengkokkan’ rumput. Inilah yang akan memberi kesan visual ‘gelap dan cerah’ kepada padang.

Corak padang akan diharamkan

Bagaimanapun staf padang Leicester City (dan kelab-kelab Premier League lain) tidak akan berpeluang menonjolkan kreativiti mereka lagi bermula musim depan.

Ini kerana Premier League akan mengharamkan grafik berlebih-lebihan dalam lawn striping selepas mendapat aduan daripada pengadil-pengadil Premier League yang mendakwa, “Grafik cantik ini menyukarkan pengadil untuk mengikuti perlawanan.”

Ini bermakna Premier League akan mengikuti jejak langkah UEFA yang mengharamkan grafik selain ‘vertical striping’ dan ‘horizontal striping’.

Rumusan

Ia masuk akal apabila kita melihat staf padang Leicester City melakukan hasil kerja cantik ini buat kali terakhir sebelum ianya diharamkan di Premier League.

Ia bagaikan melihat pemuzik klasikal Iran yang melakukan concerto terakhir sebelum muzik Barat diharamkan ketika Revolusi Islam Ayatollah Khomeini.

Staf padang Leicester City mengingatkan kita bahawa – walau apa jua kerja yang kita lakukan, lakukan bersungguh-sungguh dan dengan penuh rasa bangga.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN