Stadium Shah Alam yang pernah menjadi kebanggaan buat Selangor serta skuad Harimau Malaya kini dilaporkan sudah mula dirobohkan sejak semalam demi untuk menjadikannya tapak baharu buat pembinaan Kompleks Sukan Shah Alam.
Terdahulu, stadium tersebut boleh dianggap lokasi yang sarat dengan sejarah bola sepak dalam dan luar negara terutama buat Selangor sebelum ini sebelum ianya terbiar begitu sahaja tanpa sebarang penjagaan.
Malah, beberapa kerosakan juga sudah pun berlaku selain permukaan padang semakin teruk yang dianggap menelan kos sangat tinggi untuk kembali diperbaiki.
Walaupun begitu, lokasi tersebut bakal diberi nafas baharu dengan pembangunan semula bakal dibuat serta mampu menjadi tarikan kepada orang ramai selepas ini.
Projek yang diberi nama Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) itu bakal dibina sebaik sahaja proses merobohkan stadium bersejarah itu selesai tidak lama lagi.
Menerusi perkongsian dibuat oleh Vocket, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Menteri Besar Selangor, Saipolyazan M Yusop yang sempat memantau kerja perobohan yang dimulakan pada 1 Julai lalu.
“Alhamdulillah. Sempat singgah ke Stadium Shah Alam untuk melihat kerja perobohan dimulakan pada hari ini 1 Julai 2024.
“Saya mengarahkan pasukan projek dan kontraktor memastikan parameters pemantauan seperti bunyi, habuk, air, trafik dan lain-lain sentiasa dipantau bagi memastikan minimum gangguan kepada penduduk sekitar.” kata beliau di Facebook.
Sebelum itu, beberapa persoalan timbul dalam kalangan peminat bola sepak di Malaysia mengenai status stadium tersebut yang masih belum dirobohkan.
Apa tidaknya, projek pembangunan baharu sebenarnya telah didedahkan secara rasmi sejak tahun 2022 lagi sebelum ianya seolah terdiam sedikit lama.
Menurut Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim selaku Datuk Bandar Shah Alam, syarikat pemaju belum menyerahkan pelan pembangunan penuh projek di tapak stadium itu secara rasmi kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
“Ramai yang tanya kenapa tak roboh? Sebenarnya ada syarat dalam kelulusan itu antara lain pemaju perlu menghantar pelan pembangunan penuh projek di tapak tersebut secara rasmi kepada MBSA sebelum kerja-kerja meroboh boleh dilakukan.
“Walaupun konsep pembangunan sudah ada dan perbincangan mengenainya telah dilakukan antara pemaju dan MBSA, namun pihak berkenaan belum menghantar pelan pembangunan tersebut kepada MBSA,” katanya.
Kredit: pemilik foto