Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) sedang menimbangkan untuk menggunakan gelanggang keramat Harimau Malaya iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai gelanggang rasmi skuad Selangor untuk saingan Liga Malaysia musim depan.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Azman Fahmi Osman.
Menurut beliau, pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan FAS untuk menggunakan Stadium itu dalam saingan Liga Super musim depan.
Difahamkan FAS sudah pun membuat permohonan lisan untuk menggunakan stadium itu sebagai gelanggang mereka.
Ia susulan kegagalan persatuan itu mendapatkan Stadium Shah Alam yang menjadi gelanggang rasmi PKNS FC sejak awal tahun ini.
“Kami baru sahaja memulakan perbincangan, masih lagi mengkaji daripada segi kos, penggunaan dan tarikh perlawanan.
“Kami masih belum mendapat jadual daripada pihak FMLLP (Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia).
Ia bagi melihat kalau ada pertembungan jadual dengan acara-acara lain yang berlangsung di stadium itu,” katanya kepada Astro Arena.
Menurut Azman, PSM sedang menunggu permohonan rasmi FAS untuk mengadakan perbincangan lanjut.
Namun begitu, jika Selangor berjaya mendapatkan hak penggunaan stadium tersebut, ia boleh mengundang pandangan negatif daripada penyokong bola sepak tanah air kerana venue itu sinonim sebagai gelanggang keramat Harimau Malaya.
Malah, stadium itu bukan sahaja untuk pertandingan bola sepak tetapi turut dibuka untuk pelbagai aktiviti, termasuk konsert dan perhimpunan politik.
Stadium Nasional Bukit Jalil, yang menelan belanja RM800 juta, mula dibuka pada 1998 sempena penganjuran Sukan Komanwel pada tahun itu.
Stadium ini juga merupakan antara stadium yang terbesar di dunia dan menyediakan tempat duduk berbumbung untuk memberi keselesaan dan perlindungan optimum daripada cuaca untuk 100,000 penonton.