Stadium Nasional Bukit Jalil disahkan akan menjadi gelanggang perlawanan akhir Piala Malaysia pada musim ini.
Perkara itu disahkan sendiri oleh Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan selepas mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Pertandingan Piala Malaysia semalam.
Mesyuarat tersebut melibatkan pihak-pihak yang berkaitan dengan penganjuran pertandingan tersebut seperti Ketua Pegawai Eksekutif Ticket Hotline International Sdn Bhd, Datuk Zairil Ayu Ibrahim; Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Khairul Azmir Ahmad; Wakil Perbadanan Stadium Malaysia, Mohd Nadzri Abd Wahab dan Ketua Jabatan Sains Sukan FAM, S Sivanesvaran.
Pertandingan Piala Malaysia merupakan antara pertandingan bola sepak tertua di negara ini dan penganjurannya pada musim ini memasuki edisi ke-100.
Antara perkara yang dibincangkan di dalam mesyuarat untuk perlawanan akhir Piala Malaysia yang akan diadakan pada 30 November itu adalah seperti operasi dan teknikal, promosi dan pemasaran, penyiaran, media, pegawai perlawanan, keselamatan, pengangkutan dan penjualan tiket secara dalam talian.
Stadium Nasional Bukit Jalil boleh memuatkan 87,411 penonton pada satu-satu masa. Bagaimanapun angka yang dibenarkan memasuki stadium kali ini adalah terhad mengambil kira peraturan kesihatan yang perlu dipatuhi oleh badan penganjur itu.
Kali terakhir ia menganjurkan pertandingan akhir Piala Malaysia ialah pada musim 2019, menemukan
Saingan Piala Malaysia kini masih berada di dalam peringkat kumpulan dengan beberapa pasukan seperti Sarawak United, Selangor FC, Terengganu FC, JDT, Kedah Darul Aman FC, dan Melaka United sudah menempah slot masing-masing di suku akhir.
Sabah FC dan Petaling Jaya City akan berentap antara satu sama lain di dalam saingan Kumpulan D untuk slot terakhir ke suku akhir pada malam ini.