Stadium Amex Milik Brighton Jadi Pusat Saringan COVID-19

Stadium Amex Brighton

Brighton & Hove Albion menjadi pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) pertama yang menjadikan ‘rumah’ mereka, Stadium Komuniti American Express  (Amex) sebagai pusat saringan pandu lalu COVID-19.

Dalam satu kenyataan, kelab tersebut menjelaskan usaha murni itu dilaksanakan untuk membantu Perkhimatan Kesihatan Nasional (NHS) bagi memerangi wabak berkenaan sementara semua perlawanan bola sepak di England sedang digantung sejak 13 Mac.

Virus tersebut setakat ini telah pun menjangkiti 2.3 juta orang dan menyebabkan 158,000 kematian di seluruh dunia dengan United Kingdom sahaja telah mencatatkan lebih 15,000 kes kematian.

Sebahagian kelab EPL sebelum ini telah mengumumkan usaha dan kerjasama mereka untuk membantu semua pejuang barisan hadapan terutamanya pekerja sektor kesihatan.

“Stadium Amex akan menjadi pusat ujian saringan terbesar di bahagian pantai selatan England,” kata Pengerusi Eksekutif Brighton, Paul Barber dalam kenyataan yang disiarkan menerusi laman web rasmi pasukan.

Kelab itu juga menjelaskan inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial mereka untuk membantu pihak kerajaan dalam meningkatkan kemampuan pekerja NHS bagi membendung penyebaran virus.

“Pusat saringan itu akan menempatkan lebih 50 pekerja NHS bermula pada tengah hari Sabtu ini dan mereka akan mendapatkan keputusan ujian dalam tempoh 48 jam,” tambah Barber lagi.

“Dalam beberapa hari, pusat saringan ini akan mencapai kapasiti 1,000 ujian saringan sehari.”

Usaha pasukan-pasukan bola sepak di seluruh dunia untuk membantu perkhidmatan kesihatan di negara masing-masing untuk memerangi wabak COVID-19 dengan menawarkan fasiliti mereka telah mendapat pujian dan sokongan terutamanya masyarakat atau komuniti setempat.

Tottenham Hotspur juga dilaporkan akan memasang peralatan perubatan di stadium baharu mereka untuk dijadikan pusat saringan pandu lalu Covid-19.

Sementara beberapa pasukan lain seperti Manchester United, Wolverhampton Wanderers dan Chelsea adalah di antara pasukan yang aktif dalam membantu staf NHS.

Pemain-pemain EPL menerusia PFA juga telah melancarkan tabung sumbangan untuk pekerja NHS sebagai satu kerja amal buat mereka.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai stadium dan Covid-19:

Leave a Reply