Stabiliti Dan Struktur Kukuh Antara 5 Perkara Dari Kejayaan Sabah FA Muncul Juara Liga Premier 2019

Sabah FA sah bergelar juara Liga Premier 2019. Kejayaan tersebut juga bermakna Sabah yang turut dikenali sebagai skuad Tambadau akan beraksi di saingan Liga Super pada musim hadapan – setelah kali terakhir beraksi di divisyen teratas negara pada 2012.

Pencapaian Sabah pada musim ini boleh dianggap sebagai mengujakan. Berikut adalah lima perkara yang boleh kita ambil daripada kejuaraan Sabah FA pada musim ini.

Stabiliti pihak pengurusan

Pengurusan tertinggi Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) melalui perubahan pada Disember tahun lalu, setelah presiden terdahulu, Alijus Sipil meletak jawatan sebelum itu. Melalui mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang diadakan pada 12 Disember 2018, jawatan Presiden SAFA kemudiannya dipangku oleh Y.B Datuk Peter Anthony, setelah dipersetujui majoriti ahli gabungan yang lain.

Kredit: Stadium Astro

Langkah pertama Datuk Peter kemudiannya ialah untuk mengekalkan gandingan Jelius Ating dan Burhan Ajui selaku Ketua Jurulatih dan Pembantu Jurulatih. Ia diikuti dengan perlantikan beberapa bekas pemain seperti  Andrew Majanggim sebagai Setiausaha Agung, Yap Wai Loon sebagai Bendahari Agung serta Henry Soimpon selaku pengurus pasukan utama Sabah. Jelas sekali perubahan ini telah berjaya membentuk struktur kukuh yang membolehkan Sabah FA tampil cemerlang diatas padang.

Trend perbelanjaan

Bercakap mengenai pengurusan, anda pasti tidak boleh lari daripada menyebut perkara berkaitan bajet dan dana yang digunakan untuk dijadikan kos operasi pasukan untuk menhadapi cabaran di Liga Malaysia. Trend perbelanjaan pasukan Sabah FA untuk musim 2019 menarik untuk dibicarakan.

Perkara pertama yang mereka lakukan pada awal musim ialah memperbaharui kontrak 16 pemain. Itu setelah Datuk Peter Anthony mendedahkan para pemain mengalami tunggakan gaji selama lima bulan ketika dikendalikan oleh pengurusan sebelumnya.

Rawilson Batuil; Randy Baruh Samson; Jenius Karib; Dendy Lowa; Mohd Azzizan Nordin; Maxsius Musa; Ummareng Bachok; Justin Samaan; Ricco Nigel Milus; Sabri Sahar; Mohd Azwan Fattah; Rahman Shah Marajeh; Mazlan Yahya; Rozaimie Rohim; Rendy Robson Rining dan Mohd Sakri Masri. Hari ini, pemain-pemain i i membentuk teras pasukan Tambadau. Ini juga bermaksud Sabah FA begitu percaya dengan kualiti produk yang telah mereka bina selama ini.

Aspek pembangunan

Bercakap mengenai produk pula, maka kita juga harus menyentuh aspek pembangunan pemain. Sabah FA boleh dianggap telah berjaya mengetengahkan bakat-bakat muda dari seluruh negeri untuk bersaing di kancah tertinggi saingan bola sepak negara.

Perkara ini bukanlah juga menghairankan sekiranya latar belakang Jelius Ating sebagai pengendali pasukan dilihat kembali. Sebelum bergelar Ketua Jurulatih skuad utama, Jelius adalah jurulatih skuad B-19 Sabah. Sebahagian daripada pemain di dalam skuad sedia ada juga telah mendapat sentuhan dari Jelius sejak 3-4 musim yang lalu.

Foto: Sabah FA

Dan proses pembangunan itu dilakukan secara berterusan. Pada hari ini, Sabah boleh berbangga dengan produk yang lahir dari kilang mereka sendiri, khususnya pemain seperti Rawilson Batuil, Jenius Karib, Ricco Nigel dan ramai lagi.

Pemain import berkualiti

Siapa kata bajet yang rendah bermakna pasukan tidak boleh mengambil pemain import yang berkualiti? Itulah yang berlaku di Sabah. Perkara terpenting ialah pasukan kejurulatihan perlu tahu bahagian manakah yang memerlukan khidmat pemain asing, manakala pihak pengurusan pula perlu memastikan ia bersesuaian dengan bajet semasa.

Pada Januari 2019, Sabah FA mengumumkan telah mengikat tiga pemain, iaitu Park Tae Su dari Korea Selatan, Luiz Junior dan juga Luka Milunovic secara pinjaman dari Melaka United. Langkah Sabah FA memberikan pulangan apabila gandingan Luiz-Luka begitu menyerlah di awal musim sehingga perpindahan jendela kedua.

Foto: Sabah FA

Luiz kemudian dilepaskan dan Milunovic pula kembali ke pasukan asalnya Melaka pada Mei, dan itu memaksa pengurusan Sabah membawa masuk bekas penyerang kebangsaan Angola, Aguinaldo Mendes Veiga dan pemain tengah dari Turkmenistan, Ahmet Atayev bagi menggantikan Luka Milunovic dan Luiz Junior. Sekali lagi pemilihan pemain import oleh Sabah dianggap tepat. Tidak dilupakan juga langkah Sabah FA terus menyambung kontrak Rodoljob Paunovic yang telah meledak 10 gol setakat ini selama setahun baru-baru ini.

Gandingan Jelius-Burhan

Ketika bergelar pemain Jelius Ating dan Burhan Ajui dikenali sebagai gandingan pemain pertahanan kental pasukan Sabah. Malah kedua-duanya diangkat sebagai legenda yang pernah mengharumkan nama pasukan negeri di Liga Malaysia oleh penyokong-penyokong Sabah satu ketika dahulu- sebaris nama-nama hebat yang lain seperti Matlan Marjan, Scott Ollerenshaw atau pun Khairul Azman Mohamed.

Hari ini, kedua-dua individu sekali lagi membuktikan gandingan mereka mampu menaikkan kembali nama dan maruah bola sepak Sabah. Dari segi taktikal, Sabah gemar bermain 4-4-2/4-4-1-1 atau pun 4-3-3, berdisiplin ketika bertahan, melakukan pressing bila perlu, pantas ketika melakukan serangan balas, dan semestinya tajam di hadapan pintu gawang lawan. Permainan meyakinkan sebegini semestinya terhasil dari padang latihan yang dikendalikan kedua-dua jurulatih ini.

Rumusan

Musim ini Sabah sudah pun bergelar juara Liga Premier dan sah akan beraksi bersama ‘big boys’ yang lain di Liga Super. Perlu diingatkan juga bahawa Liga Super akan membawa cabaran dalam bentuk yang berlainan kepada pengurusan dan pasukan secara amnya berbanding saingan di Liga Premier.

Namun demikian tidak boleh dinafikan Sabah FA mempunyai ramuan dan kualiti untuk bersaing bersama pasukan-pasukan besar yang lain pada musim hadapan. Perkara paling penting ialah perancangan, diikuti oleh pelaksanaan, dan juga aspek pembangunan pemain yang konsisten tetap diteruskan selepas ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN