Johor Darul Ta’zim (JDT) menepati ramalan untuk terus merekodkan sejarah dengan muncul juara Liga Super buat kali kelapan berturut-turut selepas menumpas Sri Pahang 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Kemenangan selesa skuad kendalian Benjamin Mora itu diperoleh hasil sumbangan penyerang sensasi mereka, Bergson da Silva yang mencatat hatrik pada separuh masa pertama.
Walaupun saingan masih berbaki dua perlawanan, namun JDT seolah-olah tidak rela menunggu hingga saat akhir untuk mengesahkan kejuaraan mereka dengan membuka jaringan seawal minit kelapan.
Hasil kesilapan pertahanan Sri Pahang, penyerang import dari Brazil itu pantas mengambil peluang dengan membuat larian sebelum melepaskan rembatan kaki kiri menewaskan penjaga gol pasukan pelawat Daniel Wafiuddin.
Gol kedua JDT pula hadir hasil dari hantaran ‘pembunuh’ Safiq Rahim ke dalam kotak penalti sebelum disambut Bergson dengan lambungan hasil kuisan dengan penjaga gol lawan hanya mampu melihat bola menerjah ke dalam gawangnya.
Hanya beberapa ketika sebelum rehat, Bergson membuktikan ketajamannya dengan meledak gol ketiga bagi mencatat hatrik selepas gerakan satu duanya bersama Gonzalo Cabrera disudahkan dengan sempurna bagi merekodkan gol ke-22 peribadinya musim in.
Selepas satu jam perlawanan berlangsung, Bergson berpeluang untuk menyumbat gol keempatnya menerusi rembatan voli yang cukup kencang namun dinafikan oleh palang gol.
Kedudukan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan dan mengesahkan malam gemilang JDT di halaman sendiri.
Secara matematiknya, Kedah Darul Aman yang mempunyai baki lima perlawanan hanya mampu mengumpul 50 mata maksimum, namun JDT sudah pun mengumpul 51 mata dari 20 perlawanan.
Ia juga merupakan hatrik kejuaraan buat Benjamin Mora sejak membimbing skuad Harimau Selatan tersebut.
Selepas ini Liga Super akan tertumpu kepada persaingan empat pasukan Terengganu, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor bagi merebut kedudukan selaku naib juara.