Pengendali Sri Pahang iaitu Fandi Ahmad secara tiba-tiba kembali menjadi tumpuan utama kebanyakan peminat bola sepak tempatan setelah dirinya memacu pasukan itu ke pentas separuh akhir Piala Malaysia 2024/2025.
Apa tidaknya, reputasi Sri Pahang sejak awal musim di saingan Liga Super serta Piala FA sebenarnya tidak begitu memberansangkan sehingga menerima pelbagai kritikan.
Malah, pasukan itu turut dihantui isu konsistensi dalam permainan selain ada beberapa pemain utama gagal menampilkan kualiti terbaik di atas padang.
Konsistensi yang tidak menentu itu juga meletakkan Sri Pahang kini di tangga ke-10 dengan hanya tiga kemenangan diperoleh daripada 14 perlawanan sudah dilalui.
Namun, siapa sangka perjalanan Tok Gajah di pentas Piala Malaysia menjadi sangat menarik untuk diperkatakan sehingga mereka kini melayakkan diri ke pentas separuh akhir setelah mengetepikan cabaran getir daripada Perak.
Kredibiliti Fandi Ahmad selaku jurulatih utama sudah tentu antara yang dipuji kini setelah percaturannya berhasil dan Sri Pahang berupaya mengulangi sejarah lalu untuk mara ke pentas akhir pada tahun 2014 sehingga bergelar juara.
Melihat kepada momentum semasa pasukan tersebut, sudah tentu ada pengharapan tinggi diletakkan oleh sesetengah peminat yang mahu kejayaan 2014 dapat berulang kembali.
Walaupun begitu, Fandi menyatakan harapan tersebut tidak akan dapat dipenuhi sekiranya barisan pemainnya terus mengulangi kesilapan tidak sepatutnya seperti aksi-aksi lalu.
“Mudah-mudahan mereka segera ubah pemikiran dan akan lebih berdisiplin untuk perlawanan seterusnya ini. Kita tidak sepatutnya melakukan kesilapan mudah di hadapan gawang.
“Kita akan lebih bersungguh-sungguh dan meletakkan sasaran untuk ke final Piala Malaysia. Sri Pahang sudah lama tidak merasa pentas final, jadi kita harap ada kebaikan buat pasukan ini,” ujar Fandi menerusi perkongsian Kosmo.
Rekod 2014 lalu menyaksikan Tok Gajah berjaya mendakap kejuaraan Piala Malaysia apabila mereka cemerlang mengetepikan cabaran daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) menerusi penentuan sepakan penalti.
Bagi aksi separuh akhir akan datang, cabaran lebih sukar dijangka diharungi Sri Pahang selepas mereka bakal berdepan Sabah yang cemerlang menundukkan Kuching City di pentas suku akhir.
Pandangan anda, adakah Tok Gajah berupaya mara ke pentas akhir dan mengulangi kejayaam mereka seperti dilakar pada tahun 2014 lalu di saingan Piala Malaysia?